SYARIKAT PENGELUAR SUSPENSI ÖHLINS KINI MILIK AMERIKA

SHARE

Pengeluar sistem suspensi terkenal Öhlins Racing AB kini telah berpindah milik ke syarikat Amerika, Tenneco. Pengasas Öhlins dari Sweden Kenth Öhlin bersetuju menjual majoriti saham kepada syarikat yang berpangkalan di Illinois Amerika Syarikat yang merupakan pengeluar komponen automotif.

Öhlin, yang ditubuhkan pada 1976 terus memagang saham minoriti dalam syarikat ini. Menurut Tenneco, urusniaga ini bernialai USD160 juta (RM658 Juta) dan akan diselesaikan sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.

Öhlins Racing telah menjadi sebahagian daripada nama penting dalam motorsport, industri motosikal dan automotif sejak tahun 1976, sejak  Kenth Öhlin mengasaskan syarikat itu dan mencipta kejayaan sukan  motocross pertama.

Sejak itu, Öhlins telah menetapkan piawaian industri global dengan menawarkan teknologi sistem suspensi yang canggih kepada pasukan perlumbaan, pengeluar OEM dan aftermarket. Dengan keluaran eksport di 50 negara serta kemudahan pembuatan di Eropah dan Asia, Öhlins telah berjaya menggabungkan jangkauan global dengan pengetahuan industri kelas dunia.

Dengan pengambilalihan Öhlins, Tenneco akan meningkatkan kedudukannya sebagai pereka global, pengeluar dan pengedar produk dan teknologi prestasi tinggi. Öhlins akan menjadi anak syarikat Tenneco dan menjadikan kedua-dua jenama dan pasukan ini lebih kukuh.

Kenth Öhlin akan terus menjadi sebahagian daripada Öhlins dan menyediakan kesinambungan pembangunan strategik dan teknologi.

“Bersama-sama, Öhlins dan Tenneco akan menjadi gabungan yang sangat kuat. Selepas menimbangkan kekuatan kedua-dua syarikat, saya membuat keputusan paling sukar dalam hidup saya – untuk menjual “kerjaya” saya. Saya benar-benar yakin bahawa kami akan membangun dengan sangat positif pada masa akan datang, dan Öhlins akan mendapat manfaat daripada peluang gabungan bersama Tenneco,” ujar Kenth Öhlin

Brian Kesseler, co-CEO Tenneco, mengulas pasukan teknologi “Öhlins” akan membolehkan mereka dengan pantas mengembangkan penawaran produk premium untuk para pelanggan semasa dan masa hadapan, serta membantu memenangi bahagian perniagaan yang lebih besar dalam membangunkan pasaran mobiliti.

Henrik Johansson, Ketua Pegawai Eksekutif Öhlins mengulas “Tenneco akan membantu mengembangkan perniagaan kami secara global. Tenneco dan Öhlins telah bekerjasama selama 20 tahun, memberikan produk yang cemerlang untuk pasaran sistem suspensi pintar. Inilah permulaan sesuatu yang lebih besar. “

Share this post

scroll to top