Buletin

TAK BOLEH BELI KERETA DENGAN BITCOIN – PROTON

PROTON hari ini menegaskan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf transaksi atau tawaran penggunaan Bitcoin untuk pembelian kereta keluarannya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjelaskan pendirian PROTON mengenai mata wang kripto itu berikutan timbul beberapa artikel dan gambar di media sosial mendakwa pelanggan boleh membeli kereta proton menggunakan Bitcoin.

Gambar yang yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan bahawa pelanggan boleh membuat transaksi membeli kenderaan Proton menggunakan Bitcoin atau Ethereum dimulakan secara bebas oleh sebuah pusat jualan PROTON di Seri Kembangan, Selangor.

Operasi pusat jualan tersebut bagaimanapun telah digantung sementara siasatan lanjut dilakukan.

Pada masa yang sama, PROTON tetap mengalu-alukan kaedah inovatif untuk jualan kereta demi mengekalkan minat pelanggan.

“Walau bagaimanapun, kami ingin mengingatkan rangkaian jualan agar berhati-hati serta memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam menjalankan aktiviti promosi yang tidak mendapat pengesahan syarikat,” jelas PROTON.

Google ads
Back to top button