TEKNOLOGI ARAHAN SUARA PROTON X70 MEMANG MENARIK! KAMI DAH CUBA!

SHARE
Permintaan terhadap teknologi arahan suara (voice command) lazimnya kita temui dalam kereta-kereta mewah. Ia bukan sahaja kompleks, malah membangunkanya bukanlah mudah. 

Kekangan sebutan, nuansa dan masalah loghat dan linguistik menjadi halangan utama. Sukar untuk menetapkan satu standard Bahasa Inggeris yang boleh difahami oleh satu-satu sistem. Malah ketika Proton mengumumkan untuk membekalkan teknologi voice command ini daripada Boyue kepada Proton X70, kami sedikit skeptikal.
Namun, pagi tadi, kami telah diberi demonstrasi bagaimana sistem ini telah disesuaikan dengan lenggok Bahasa Inggeris di Malaysia. Ternyata tiada masalah besar yang timbul.
Sistem infotainmen ini mudah menerima arahan dengan hanya sekali frasa ucapan. Cuma dalam beberapa keadaan, ia mengambil sedikit masa. Tapi secara keseluruhannya, ia setanding dengan apa yang ditawarkan oleh kenderaan mewah (malah ada yang kata, X70 lebih baik).
Kemudahan fungsi bebas tangan yang ada pada Proton X70 bergantung kepada teknologi perisian pengecaman suara yang membolehkan penggunaan memberi arahan secara lisan. Akses kepada sistem diberikan apabila pemilik dengan mengucapkan frasa ‘Hi Proton’ yang membuka kepada pelbagai pilihan yang boleh dikawal melalui arahan suara.
Ini termasuk mengendalikan sistem tingkap, penyaman udara serta mengakses aplikasi navigasi bagi mencari restoran berdekatan.
“Proton X70 adalah model Proton pertama yang menggunakan teknologi pengecaman suara, iaitu fungsi yang akan dihargai oleh pemilik. Beratus-ratus sampel suara telah dicatat untuk setiap frasa untuk memastikan sistem itu mempunyai ketepatan yang tinggi walaupun anda menggunakan dialek yang berlainan.
“Untuk kemudahan penggunaan, sistem GKUI akan menunjukkan setiap frasa yang diucapkan di skrin untuk mengesahkan setiap arahan.
“Pada masa kini, GKUI menawarkan pengecaman suara untuk frasa bahasa Inggeris sahaja kerana terdapat batasan perisian tetapi kami telah memastikan frasa yang diiktiraf adalah mudah digunakan walaupun pemilik yang tidak fasih untuk menutur bahasa tersebut,” ujar Abdul Rashid.
Dengan memperkenalkan kad eSIM, GKUI yang terdapat pada Proton X70 itu telah dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara. Akses kepada aplikasi dan fungsi-fungsi yang lain adalah melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz 8 inci dengan paparan warna penuh 1280 x 720 yang dilengkapi ruang memori dalaman 16GB.
Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi agar X70 boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih. Untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan sambungan tersebut, pengguna boleh memadankan kereta mereka dengan telefon bimbit peribadi melalui Proton Link denn menggunakan identiti individu yang diberikan kepada setiap pembeli.
Mereka kemudiannya boleh membina profil daripada papan telematik yang boleh merakam data seperti jarak perjalanan, penggunaan
bahan api, tempoh perjalanan serta maklumat servis berkala kereta. Terdapat juga fungsi ‘cari kereta saya’ yang akan berfungsi terutamanya pengguna meletakkan kereta mereka di kompleks tempat letak kereta yang besar.
“Sistem GKUI yang terdapat pada Proton X70 membolehkan pemiliknya sentiasa berhubung dengan kereta mereka. Ia adalah sistem dua hala aktif yang menawarkan beberapa pilihan yang sesuai dengan kemudahan pemilik individu. Kelak, keupayaan untuk memuat turun aplikasi tambahan juga akan ditawarkan, sama seperti telefon bimbit. Ini bermakna tiada persamaan dalam setiap kereta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.
Oleh kerana model ini menggunakan sistem pengendalian Android, GKUI menawarkan pengguna telefon bimbit dengan kemampuan sambungan. Ini bermaksud pemilik aplikasi boleh mengakses telefon bimbit mereka pada skrin sentuh Proton X70 dan menikmati lebih banyak ketersambungan.

Share this post

scroll to top