Buletin

TIADA LAGI GADIS LITAR UNTUK F1 BERMULA MUSIM 2018 – RAMAI MENGELUH NAMPAK

Selepas berdebat mengenainya selama berbulan-bulan, Formula 1 akhirnya membuat keputusan yang gadis litar cuma akan menjadi sebahagian daripada sejarah F1. Patutlah dari pagi lagi muka Pak Amid masam je. Siap mengomel kat mana diorang nak kerja kalau kerja diorang dihapuskan.

Tradisi yang sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada perlumbaan itu sendiri kini akan diakhiri secara formal sebaik perlumbaan pertama membuka tirai kalendar FIA Formula 1 2018 pada 25 Mac akan datang.

Penggunaan gadis litar kerap menjadi topik perdebatan banyak pihak dikatakan mengeksploitasi wanita untuk tujuan tertentu dan sudah menjadi tradisi lapuk. Formula 1 nampaknya turut sependapat dalam isu tersebut dan kini mengambil langkah drastik dengan menghapuskan penggunaan gadis litar sebelum sesi perlumbaan dilangsungkan.

Sean Bratches, pengarah operasi F1 berkata yang mereka telah meneliti beberapa perkara yang harus ditingkatkan dan diberi perubahan untuk menaiktaraf sukan ini agar kembali hebat.

Beliau menyambung yang walaupun gadis litar pernah menjadi sebahagian daripada F1 selama bertahun-tahun tetapi mereka merasakan yang tradisi ini sudah tidak sesuai untuk penjenamaan dan norma masyarakat moden semasa. Beliau mengakhiri kata-kata dengan menegaskan yang penggunaan gadis litar tidak lagi relevan ataupun sesuai baik untuk organisasi F1 mahupun untuk peminat di seluruh dunia.

BACA: MENINGGALKAN F1 TIDAK AKAN MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA FERRARI – JEAN TODT

Sudah tentu ada peminat yang akan membantah dan F1 pun sedar akan hal ini. Malah bagi mereka, masa yang diluangkan bersama pemandu dan pasukan sebelum memulakan perlumbaan sendiri bagaikan sebuah pesta.

Ia merupakan satu majlis di mana para tetamu dan penghibur menambah seri kepada perlumbaan GP. Malah ia juga membolehkan promoter dan penaja mempamerkan produk dan negara mereka.

Walaupun pelbagai alasan yang diberikan hakikatnya gadis litar sudah tiada dalam perlumbaan F1 begitu juga dengan siri perlumbaan yang diadakan pada sesi hujung minggu musim Grand Prix. Selamat tinggal gadis-gadis litar yang pernah menjadi penyeri F1 selama ini. Dengar macam Pak Amid tengah bodek Abang Japar agar ambil gadis-gadis litar ni kerja kat sini. Menarik jugak idea tu, semangat sikit buat cerita.

Google ads
Back to top button