TOYOTA CAMRY 2018 – ENJIN BAHARU, LEBIH SPORTY
Toyota Motor Corporation hari ini melancarkan model paling laris di Amerika Syarikat (AS) selama 15 tahun berturut-turut, Toyota Camry pada acara North American International Auto Show (NAIAS) 2017.
Diperkenalkan sendiri oleh Presidennya, Akio Toyota, sedan generasi kelapan itu dilihat telah mengalami evolusi sepenuhnya menerusi gayaan baru dan prestasi yang lebih sporty. Camry dibina di atas kerangka Toyota New Global Architecture (TGNA) yang mewaliki strategi baru Toyota dalam mereka bentuk dan mempakejkan kenderaannya.
Camry tampil dengan dua keping gril yang menjadi elemen penting falsafah rekaan “Keen Look”.gabungan gril trifecta, hud serta emblem yang digabungkan dengan tiang A membuatkan jentera itu kelihatan lebih sporty dan agresif berbanding model terdahulu.
BACA: TOYOTA CAMRY WAGON TURBO
BACA: PENGAKUAN DRIFT KING – KENAPA SAYA MASIH MEMANDU TOYOTA 86
Jentera itu hadir dalam tiga pilihan enjin termasuklah 3.5 liter V6 dengan D-4S Fuel Injection dan enjin empat silinder sebaris Dynamic Force bersesaran 2.5 liter serba baharu. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Direct-Shift lapan kelajuan automatik dan Toyota Hybrid System (THS II) generasi seterusnya.
Profail Camry juga lebih kemas apabila ia direndahkan kira-kira satu inci, bersama garis bumbung yang rendah, tanpa perlu mengabaikan keluasan ruang kabin. Sementara bahagian belakang pula nampak lebih atletik dengan rekaan bampar, lampu multi warna dan banyak lagi.
Untuk pasaran AS, Camry didatangkan dalam empat gred iaitu LE, XLE, SE dan XSE. Gred SE dan XSE yang lebih sporty dilengkapi rim aloi 19 inci berwarna hitam, spoiler lip belakang, bampar hadapan agresif dan diffuser di bahagian belakang.
Bahagian kabin telah menerima rekaan baru sepenuhnya. Susun letak semua butang kawalan kini lebih kemas dan berorientasikan kepada pemandu. Permukaan papan pemuka, panel instrument, konsol tengah dan kemasan pintu menggunakan material lembut berkualiti tinggi.
Camry dipasang dengan ciri Human Machine Interface (HMI) terkini Toyota. Teknologi itu menawarkan paparan maklumat lebih bersepadu menerusi tiga skrin yang tersambung di antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, Camry juga hadir dengan sistem multimedia Toyota Entune™ 3.0. sistem tersebut merangkumi ciri navigasi, App Suite Connect, ketersambungan wifi dan banyak lagi, bergantung kepada varian. Keinginan mendengar muzik pula dipuaskan melalui sistem audio premium JBL.
Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, Camry dilengkapi Toyota Safety Sense™ P (TSS-P) sebagai ciri standar. Ia merangkumi pelbagai teknologi keselamatan seperti Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/SA) dan Automatic High Beams (AHB). Beberapa model tertentu juga hadir dengan ciri Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
Semua varian dilengkapi 10 beg udara dan Star Safety System yang terdiri daripada Enhanced Vehicle Stability Control, Traction Control, Electronic Brake-force Distribution, Brake Assist, Anti-lock Braking System dan Smart Stop Technology.
Camry baharu akan dipasang di kemudahan Toyota Motor Manufacturing, Kentucky (TMMK) di Georgetown, Kentucky. Sedan itu dijadual menemui pengguna di AS bermula pertengahan tahun ini.
Bagi pasaran Malaysia, besar kemungkinan Camry hanya akan tiba di sini pada tahun 2018.