Buletin

TOYOTA COROLLA ALTIS 2014

Pengeluar dan pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor telah melancarkan model terbaharunya, Toyota Corolla Altis pagi tadi. 

SONY DSC

Hadir dengan pelbagai penambahbaikan pada bahagian luaran dan dalaman, Altis akan menjadi taruhan terbaik buat UMW Toyota Motor bersaing dalam segmen C.

Corolla mula diperkenalkan pada 1966 di pasaran global. Sejak itu, lebih 40 juta unit telah terjual di 150 negara. Sedan yang sudah memasuki generasi ke-11 itu bagaimanapun hanya menjengah pasaran tempatan pada pada 2001. Sehingga tahun 2013,  sebanyak 63,798 unit Corolla Altis telah berjaya dijual.

SONY DSC

Berdasarkan rekod tersebut, UMW Toyota Motor optimis dapat mencapai sasaran untuk menjual 9,000 unit Corolla Altis pada tahun ini. Sasaran itu nampaknya tidaklah terlalu sukar untuk dicapai memandangkan hampir 1,000 unit sudah ditempah sejak tempahan dibuka pada November 2013.

Bagi memberikan lebih pilihan kepada para pelanggan, Corolla Altis ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.8E, 2.0G dan 2.0V. Harganya pula bermula dari RM114,000 hingga RM137,547 seunit (di atas jalan termasuk insurans) bergantung kepada varian.

Top

Harus diakui bahawa penampilan model tersebut jauh lebih menarik berbanding generasi sebelumnya. Rekaan luarannya nyata lebih sporty dan tampil dengan pakej lengkap dari segi prestasi, kualiti, pengendalian, gaya serta keselesaan.

Bahagian hadapan kereta menyerlah menerusi rekaan jeriji trapezoidal yang dipadankan bersama sepasang lampu LED dan DRL (varian 2.0V). Sementara bahagian belakangnya pula mengetengahkan rekaan lampu dan bampar yang lebih segar.

Dual VVT-i

Varian 1.8E digerakkan oleh unit enjin berkuasa 139PS dan tork maksimum 173Nm. Sementara varian 2.0G dan 2,0V pula dijana oleh enjin empat silinder sebaris, 16 injap DOHC dengan Dual VVT-i berkuasa 145PS dan tork 187Nm.

Kedua-dua enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT tujuh kelajuan dengan ciri Sport Sequential Shift. Menurut Ketua Jurutera Corolla, Shinichi Yasui, enjin dan transmisi tersebut adalah sama seperti yang digunakan oleh model sebelumnya, namun penambahbaikan telah dilakukan. Hasilnya, gabungan enjin dan transmisi itu mampu menawarkan penjimatan bahan api di antara 3 hingga 7 peratus.

Dashboard

Pembaharuan diteruskan ke ruang kabin dengan tema rekaan Iconic Dynamism. Tidak ada lagi kemasan kayu di sana. Sebaliknya, ia diganti dengan kemasan berwarna hitam yang kelihatan lebih bergaya.

Senarai sistem keselamatan pula terdiri daripada brek ABS bersama EBD dan BA, manakala ciri Vehicle Stability Control serta Traction Control ditawarkan untuk varian 2.0V sahaja.

SONY DSC

Jika berminat, Corolla Altis serba boleh didapati dalam lima warna iaitu putih, perak metalik, hitam, kelabu dan coklat.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button