Buletin

TOYOTA COROLLA HATCHBACK BAHARU BAKAL TIBA – MALAYSIA MACAM MANA?

Satu fakta menarik untuk bertahun-tahun lamanya takhta jualan kereta bukan nasional dipegang oleh Toyota. Satu lagi perkara menarik ialah dalam tempoh tersebut Honda Malaysia mengekori di belakang dan sibuk membina jenama di belakang tabir.

Honda Malaysia tidak mempunyai produk yang menarik di mata pelanggan selain Honda Civic. Honda CR-V pula walaupun popular tetapi ia bukanlah dalam segmen popular dan banyak permintaan seperti sekarang.

Honda City pula tidak menepati citarasa berbanding Toyota Vios manakala Honda Jazz pula dipasarkan pada harga yang agak keras dan paling melampau apabila lebih daripada RM100 ribu.

Hakikatnya senario sudah berubah dan Honda Malaysia sudah beberapa tahun berada di atas mengatasi Toyota. Menariknya jualan Honda Malaysia melebihi angka yang direkodkan Proton selaku jenama nasional.

Nampaknya sindrom yang dialami oleh Honda pada satu ketika dulu berjangkit kepada Toyota. Kurang produk yang menarik dan hanya berharap pada satu model popular sahaja.

Sekarang ini jarang benar Toyota Avanva dan Innova baharu dilihat di atas jalan seperti beberapa tahun dahulu.

Kenderaan Toyota baharu yang kerap dilihat ialah Hilux dan Vios. Corola Altis dan Camry pula sekali-sekala. Toyota sebenarnya perlukan produk lebih menarik di mata rakyat Malaysia yang kini bijak menilai tawaran dan pakej oleh pengeluar.

2017 Toyota Corolla SX

Tidak salah untuk dikatakan bahawa pembeli tempatan mahukan produk bertaraf global memandangkan pembelian kereta adalah aset kedua termahal selepas kediaman. Selain itu, pembeli tempatan juga terdedah dengan pelbagai maklumat dan trend di serata dunia.

Untuk itu, UMW Toyota perlu melihat apa yang ditawarkan Toyota diperingkat global. Sebagai contoh terdekat, Toyota bakal melancarkan Corolla hatchback baharu di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva pada minggu hadapan.

Model yang dikenali sebagai Auris di Eropah ini memang tidak pernah dibawa secara rasmi ke pasaran tempatan melainkan melalui pengimport persendirian.

Auris bukan sahaja dijual di Eropah malah turut ditawarkan di Australia, negara yang tidak jauh mana pun dengan negara kita. Model baharu ini akan tampil dengan rekabentuk segar dari Toyota selari dengan gaya bahasa baharu pengeluar dari Jepun itu.

Toyota Corolla hatchback sedia ada sekarang ini pun sudah menarik bahkan ia pernah dimuat naik beberapa laman web automotif tempatan dalam memberi bayangan sebelum pelancaran Perodua Myvi baharu.

Jika UMW Toyota mahu merebut kembali takhta yang sekian lama dipegang dahulu, model-model seperti ini dijangka dapat membantu semula tarikan di mata pelanggan dan menambah angka jualan.

Toyota mempunyai peluang yang baik dengan Toyota C-HR tetapi harganya…. Toyota Vios pula belum nampak bayang untuk mengejar Honda City manakala CR-V dan Jazz dibiar tanpa pesaing.

Jadi tidak hairanlah apabila Honda Malaysia di antara segelintir pengedar yang berjaya mengalahkan Toyota dari segi pegangan pasaran di peringkat global.

Google ads
Back to top button