Buletin

TOYOTA COROLLA TOURING SPORTS – KELAHIRAN SEMULA CALDINA?

Lebih kurang 13 tahun lalu, Toyota Caldina secara tiba-tiba menjadi kegemaran dan idaman ramai. Di antara faktor utama wagon ini digemari ramai ialah reka bentuk yang sporti.

Ia bukan wagon biasa-biasa kerana selain reka bentuk menarik, Caldina dibekalkan dengan enjin 2.0 3S-GTE Turbo. Walaupun terdapat model lain yang dikuasakan enjin aspirasi normal, model Caldina GT-Four lebih digemari.

Ia resepi yang berjaya, reka bentuk mendahului zaman dengan enjin sepadan.

Populariti Caldina hanya kekal sezaman sahaja. Tiada model susulan selepas pengeluaran ditamatkan pada pertengahan tahun 2007.

Toyota masih mengeluarkan model wagon lain seperti Auris Touring Sports dan Avensis tetapi ia tidak diimport ke negara kita. Reka bentuk Avensis tidak setajam Caldina kecuali Auris Touring Sports yang tampak sporti.

Tawaran wagon dari Toyota bakal bertambah meriah apabila syarikat itu tampil dengan Corolla Touring Sports. Model ini dicipta dan dibangunkan di Eropah dan disasarkan kepada pelanggan yang mahukan kenderaan praktikal tanpa mengorbankan gaya.

Suatu yang menarik apabila Toyota terus melangkau daripada Corolla Hatchback yang diperkenalkan awal tahun ini kepada model wagon Touring Sports tanpa pengenalan Corolla sedan di antaranya.

Jika Caldina gah dengan model GT-Four, Corolla Touring Sports pula disesuaikan dengan peredaran teknologi. Untuk itu Toyota menawarkan dua varian enjin hibrid 1.8 liter berkuasa 122 hp dan 2.0 liter berkuasa 180 hp.

Usah risau buat mereka yang gemarkan enjin konvensional, Toyota turut menawarkan enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 hp.

Model wagon ini mempunyai karakter pengendalian sporti melalui kedudukan cagak enjin rendah dan bateri hibrid di bawah kerusi belakang yang menyumbang kepada titik graviti kenderaan yang rendah.

Suspensi belakang pula tidak menggunakan kaedah ‘dead axle’ tetapi dilengkapi jenis multilink serta sistem Adaptive Variable Suspension (AVS).

Satu fakta menarik yang dikongsi Toyota ialah wagon ini bukan variasi kepada Corolla Hatchback malah ia sebenarnya model berasingan dan dibina berasaskan platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA-C).

Salah satu ciri TNGA-C ialah kerusi yang boleh dipasang rendah seterusnya menawarkan cara pemanduan lebih asyik dalam mengendalikan kereta ini.

Untuk mereka yang sudah berminat dengan jelmaan baharu Caldina ini sukar untuk memberi jawapan sama ada anda boleh memilikinya. Model ini dipasarkan di Eropah dan harapan mungkin cerah jika turut ditawarkan di Jepun.

Sama seperti Honda Jade (gantian Stream) yang pada asalnya untuk pasaran China sahaja. Model itu kemudian ditawarkan di Jepun dan tahu-tahu saja sudah ada yang mengimportnya masuk ke negara kita.

Dengan reka bentuk sebegini tidak ada masalah untuk Toyota Corolla Touring Sports membawa demam yang sama seperti Caldina pada suatu masa dahulu.

Toyota Corolla Hatchback

BACA: TOYOTA CALDINA GT4 NARUSE SPEC

BACA: TOYOTA CELICA 3S-GE BEAMS

Google ads
Back to top button