Buletin

TOYOTA HILUX 2013

UMW Toyota Motor melancarkan Toyota Hilux 2013 yang telah dipertingkatkan di  Kota Kinabalu, Sabah bagi memberi lebih nilai kepada model trak pikap paling laris ini. Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki memberitahu ciri-ciri baharu itu dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas daripada para pelanggan Toyota.

Antara penambahbaikan itu ialah rim aloi bersaiz 17 inci, tempat duduk kulit yang boleh dilaras secara elektrik, ruang dalaman berwarna gelap, reka bentuk lampu kabus depan baharu, tali pinggang keledar hadapan pra-regangan dan had kuasa sebagai ciri keselamatan tambahan.

new hilux

Varian Hilux dikuasakan oleh unit enjin turbo diesel 3.0 liter dan 2.5 liter. Enjin tersebut dilengkapi teknologi Intercooler VNT dan D-4D Common Rail agar pemilik dapat menikmati prestasi, pada masa yang sama menjimatkan bahan api.

Setakat ini, lebih 4.5 juta unit Hilux terbaharu berjaya dijual di seluruh dunia. Di Malaysia, sebanyak 145,000 unit Hilux telah terjual sejak ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2005 sehingga September 2013. “Hilux terus menerajui segmen trak pikap dengan penguasaan pasaran lebih 50 peratus di Malaysia,” kata Ismet.

Bagi tahun 2013, UMW Toyota Motor telah menjual hampir 18,000 unit Hilux. Tempahan untuk Hilux yang dinaik taraf ini mula dibuka pada 17 September. Sehingga kini, lebih 800 tempahan telah diterima.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mensasarkan untuk menjual 29,000 unit Hilux pada tahun depan. Trak pikap ini boleh didapati di semua bilik pameran Toyota di seluruh negara mulai 25 Oktober 2013.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button