TOYOTA HILUX GR SPORT – NAK LAWAN RANGER RAPTOR?

SHARE

Baru-baru ini, timbul spekulasi bahawa divisyen Toyota GR Motorsport akan menghasilkan model Hilux yang akan menjadi pesaing kepada Ford Ranger Raptor.

Teka-teki itu terjawab apabila Toyota memperkenalkan Hilux GR Sport pada acara Sao Paulo Motor Show 2018. Trak pikap yang dipasang dengan bodykit khas GR itu bagaimanapun bukanlah pesaing Ranger Raptor, jelas Toyota.

Hilux GR Sport tampil tersendiri menerusi penggunaan gril radiator berwarna hitam dengan perkataan Toyota, sedikit kemasan bampar merah, pelindung arca roda, rim aloi khas bersaiz 17 inci, sports bar dan logo Gazoo Racing.

Tidak ketinggalan, suspensinya kini lebih keras, stereng telah ditala semula dan pelekat dipasang pada sisi badannya.

Ruang kabin diserlahkan dengan tempat duduk dibalut kulit hitam, jahitan benang merah, sulaman logo GR pada perehat kepala dan lencana bernombor berhampiran perumah tuil gear.

Hilux GR Sport menggunakan khidmat enjin D-4D turbodiesel bersesaran 2.8 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 177hp dan tork 450Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke pacuan empat roda menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.

Jentera itu akan ditawarkan sebagai model edisi terhad dengan hanya 420 unit di pasaran Brazil. Buat masa sekarang, Toyota tidak menyatakan sama ada Hilux GR Sport bakal dijual ke negara lain atau sebaliknya.

Share this post

scroll to top