TOYOTA LEVIN BAKAL DIPAMERKAN DI CHINA 16 NOVEMBER INI

SHARE

Adakah ini kelahiran semula legenda Toyota Levin? Hachi roku? Tidak sebab di China Toyota Corolla Altis dikenali sebagai Levin dan Corolla.

Tahun ini Toyota sibuk dalam mengeluarkan famili Corolla baharu. Dua model sudah diperkenalkan iaitu Corolla Hatchback dan Corolla Touring Sports.

Kedua-dua model ini hadir dengan reka bentuk dan spesifikasi yang tidak mengecewakan. Jika ditanya bilakah sekali lagi Corolla akan bangkit menawan hati ramai pengguna, rasanya inilah jawapan yang tepat.

Rupa-rupanya selepas memperkenalkan dua jenis badan Corolla tahun ini, famili model ikonik dunia tersebut masih belum lengkap.

‘Abang besar’ iaitu Corolla sedan atau Altis dan Levin bakal melengkapi famili ini dan dipertonton buat kali pertama di Pameran Automobil Guangzhou pada 16 November depan.

Satu perkara yang harus diketahui ialah sebelum ini terdapat dua versi Corolla iaitu untuk pasaran global (seperti ASEAN) dan satu lagi versi Amerika Syarikat atau China.

Pelancaran di Guangzhou begitu menarik untuk diperhatikan sama ada Toyota akan menggunakan satu sahaja model global atau mengikut tradisi sedia ada.

Seperti biasa model samaran Corolla sedan yang sedang diuji di jalan awam berjaya dirakam dan tersebar di internet dan berpandukan foto-foto tersebut, ia banyak dipengaruhi gayaan depan model hatchback.

Corolla Touring Sports juga menggunakan tema depan yang sama dan ia adalah formula paling tepat.

Untuk enjin pula tiada maklumat diberikan dan sebagai rujukan, Corolla Hatchback ditawarkan enjin 2.0 liter baharu VVT-iE dengan teknologi pancitan bahan api D-4S tebaru.

Teknologi ini merujuk kepada variable valve timing-intelligence by electric motor yang terletak pada bahagian masukan (intake) dan VVT-i pada bahagian ekzos.

VVT-iE menggunakan motor elektrik berbanding tekanan minyak bagi mengawal pemasaan injap boleh ubah (variable valve timing).

 

Toyota Corolla Hatchback

Teknologi ini menjadikan enjin lebih berkuasa dan lebih cekap bahan api selain daripada emisi lebih bersih. Satu lagi keistimewaan enjin 2.0 ini ialah ia lebih kecil dan ringan berbanding enjin 1.8 empat silinder sedia ada.

Satu lagi jenis enjin ialah 1.8 liter hibrid dan rasanya ia bakal ditawarkan pada Corolla dan Levin ini nanti.

Corolla Hatchback dan Touring Sports adalah dua model menarik tetapi secara tradisinya ia tidak dipasarkan di negara kita. Jika anda meminati kedua-dua model tersebut, Corolla sedan adalah jawapan pengganti untuk anda.

Cuma diharapkan UMW Toyota tidak meletakkan pertimbangan harga sama seperti Camry yang diperkenalkan baru-baru ini.

BACA: TOYOTA COROLLA SPORTS DILANCAR DI JEPUN. ENJIN TURBO DAN HYBRID. CANTIK KAN?

BACA: IDEA MODIFIKASI TOYOTA COROLLA – WAJAH TAMPAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Share this post

scroll to top