Buletin

TOYOTA SIENTA: DUA VARIAN, BERMULA RM92,900

UMW Toyota Motor hari ini melancarkan MPV terbaharunya, Sienta secara rasmi. Sebelum ini, Sienta pernah dipertontonkan kepada umum pada acara My Auto Fest 2016 Mei lalu.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (11)

Diimport sepenuhnya dari Indonesia, Sienta hadir dalam dua varian iaitu Sienta 1.5V dan Sienta 1.5G bersama enam pilihan warna.  Sienta 1.5V ditawarkan pada harga RM99,900. Sementara Sienta 1.5G pula berharga RM92,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans).

Bagi pasaran lain seperti Indonesia, maklum balas umum terhadap Toyota Sienta serba baharu ini sangat menggalakkan. Jadi, UMW Toyota Motor berharap sambutan yang sama akan diterima daripada pelanggan di Malaysia. Sejak dibuka pada awal Jun lalu, sebanyak 500 tempahan sudah diterima.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (4)

“Dengan banyak nilai tambah yang ditawarkan oleh Toyota Sienta, saya yakin ia dapat memenuhi selera pengguna tempatan. Terutama golongan keluarga muda yang mahukan sebuah MPV kompak, menjimatkan minyak, spesifikasi dan ciri keselamatan yang lebih baik,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Sienta dijana oleh enjin petrol baharu Dual VVT-i  bersesaran 1.5 liter. Mampu menghasilkan kuasa maksimum 107PS @ 6,000rpm dan tork 140Nm @ 4,200rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT tujuh kelajuan bersama mode Sport Sequential Shiftmatic.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (6)

Melihat reka bentuknya, Toyota Sienta jelas mempunyai rekaan berbeza berbanding model-model MPV lain Toyota. Rekaannya yang  ranggi itu diinspirasikan daripada kasut trekking, mempamerkan karektor dinamik dan kepelbagaian fungsi kegunaan.

Walaupun kompak, pakej keseluruhannya cukup fleksibel. Sekali gus dapat menyediakan ruang yang luas untuk semua penumpang dan barangan yang dibawa.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (2)

Susun atur tiga baris tempat duduk yang mampu memuatkan tujuh orang penumpang boleh diubah mengikut keperluan.

Masuk sahaja ke dalam kabin, anda akan disambut oleh fabrik tempat duduk berwarna coklat untuk varian 1.V dan hitam (1.5G). Varian 1.5V dipasang dengan paparan Multi Informasi (MID) TFT berwarna. Manakala 1.5G dengan MID mono.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (10)

Tempat duduknya boleh dilipat dengan sangat mudah. Lantai yang rata juga memberi kelebihan kepada kapasiti ruang yang tersedia. MPV ini turut disertakan dengan sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin.

Toyota Sienta didatangkan dengan pintu gelungsur pada kedua-dua sisi. Pintu gelungsur berkuasa (hanya disebelah kiri bagi Sienta 1.5G) itu bukan sahaja memudahkan urusan keluar dan masuk, malah menyediakan bukaan ruang yang luas.

Toyota-Sienta-2016-mekanika (7)

Dari segi keselamatan, MPV ini dilengkapi tiga beg udara SRS, Vehicle Stability Control (VSC) dan Hillstart-Assist Control (HAC).

Toyota Sienta serba baharu didatangkan dengan jaminan lima tahun.  UMW Toyota Motor mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit menjelang akhir tahun. Ia akan berada di bilik-bilik pameran Toyota seluruh negara mulai esok (19 Ogos 2016).

Google ads
Back to top button