Buletin

TOYOTA SUPRA 1994 – PERBATUAN CUMA 9,052km, HARGA RM426,700!

Antara kereta Jepun yang tidak pernah turun harga atau takkan turun harga ialah Toyota Supra. Permintaan yang tinggi di seluruh dunia membuatkan harganya semakin naik saban tahun. Populariti jentera tersebut banyak disumbang oleh penampilannya dalam filem blockbuster Fast & Furious. 

Persona itu kemudian ditambah dengan keupayaan kuasa enjin turbo berkembar 2JZ-GTE, di samping reka bentuk luaran dan dalaman yang tidak ditelan zaman. Memang Supra MK IV ini satu pakej yang lengkap.

Disebabkan oleh sifatnya sebagai sebuah kereta untuk tujuan berlumba atau drift, memang tidak banyak unit yang masih dalam keadaan baik. Jadi, apabila muncul sebuah Supra yang masih cantik terjaga dengan perbatuan rendah, mulalah harga jadi merepek.

Contoh terkini ialah sebuah Supra yang tidak pernah diubah suai dan hanya mencatat perbatuan sekitar 9,052km. Model turbo tahun 1994 itu ditawarkan pada harga AS$99,999 (RM426,700) oleh sebuah laman web jual beli kenderaan, performanceautogalllery.com.

Cuma apa yang slack sikit ialah Supra tersebut didatangkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Bukannya transmisi manual Getrag enam kelajuan yang menjadi dambaan ramai.

Kalau ikutkan sejarah ia dimiliki oleh sebuah keluarga dan memiliki 100 peratus alat ganti OEM. Bahagian enjin masih berkilat, brek cakera tidak berkarat dan panel plastik di ruang kabin sangat elok kondisinya.

Walaupun kereta ini masih cantik dan permintaannya cukup tinggi, harga itu disifatkan memang tidak masuk akal. Tetapi, jika ada yang betul-betul banyak duit dan mahu menukar transmisi automatik itu, Supra ini memang sebuah jentera yang sempurna untuk mereka.

BACA: SAYANGNYA, RIWAYAT SEBUAH TOYTA SUPRA A70 BERAKHIR SEBEGINI TRAGIS

kredit foto: Performance Auto Gallery

GALERI

Google ads
Back to top button