TRAK BAWA COKLAT 12 TAN TERBALIK DI POLAND – LEBIH SUSAH DIBERSIHKAN BERBANDING SALJI

SHARE

Lebuh raya yang menyambungkan wilayah Poznan dan Warsaw di Poland diselaputi coklat apabila sebuah trak terbalik.

Punca bagaimana trak yang membawa kira-kira 12 tan coklat itu boleh terbalik masih belum dapat dipastikan. Melihat kepada gambar yang tular, trak itu terbalik secara melitang di antara dua laluan dengan coklat cair memenuhi sepanjang jalan.

Pemandu berusia 60 tahun dilaporkan tidak cedera dan telah dihantar ke hospital. Biarpun begitu, trak tersebut membuatkan trafik tidak dapat bergerak selama dua jam.

Menurut pihak berkuasa, masalah utama bukan untuk mengalihkan trak, tetapi membersihkan jalan daripada coklat yang melekit itu. Keadaan lebih sukar pada waktu panas apabila coklat semakin mencair.

“Kami terpaksa menghabiskan masa selama beberapa jam untuk membersihkannya. Coklat lagi susah dikeluarkan berbanding salji,” kata seorang pekerja.

Pasukan bomba perlu menggunakan air panas untuk mencairkan coklat. Malah sebuah bulldozer turut digunakan.  

Satu lagi masalah ialah mereka perlu membersihkan tumpahan coklat dalam jarak yang jauh dari lokasi kemalangan.

Keadaan diburukkan lagi apabila ada kenderaan yang melalui jalan diselaputi coklat. Ini menyebabkan jarak ‘liputan’ coklat itu menjadi semakin jauh.  

Share this post

scroll to top