Buletin

TREELEKTRIK T90 – MOTOSIKAL BERKUASA ELEKTRIK SEPENUHNYA

Tree Movement Malaysia Sdn Bhd, hari ini telah memperkenalkan motosikal berkuasa elektrik sepenuhnya Treelektrik T90 dalam satu majlis khas yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah.

Dalam majlis tersebut, Baginda turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) selaku pengedar utama, serta pengedar rasmi yang lain.

Treelektrik T90 ialah motosikal elektrik pemasangan tempatan sepenuhnya. Ia tidak memiliki enjin dan hanya menggunakan bateri sebagai punca kuasa. Terdapat dua jenis bateri yang digunakan iaitu Lithium dan Lead Acid. Bagi bateri Lithium yang mampu bertahan sehingga 120,000km, ia dijual pada RM15,264 (termasuk GST). Manakala versi bateri Lead Acid pula ditawarkan pada harga RM10,494 (termasuk GST) dan boleh digunakan sehingga 45,000km.

Menurut syarikat, versi bateri Lithium mengambil masa 5-6 jam untuk dicaj sepenuhnya. Bergantung kepada beban dan cara penggunaan, ia mampu bergerak sehingga 110km dengan kelajuan maksimum mencecah 95km/j. Sementara versi bateri Lead Asid yang perlu dicaj selama 6-7 jam, boleh digunakan sehingga 85km dengan kelajuan maksimum sekitar 80km/j.

Treeletrik T-90 tidak memerlukan penyelenggaraan berkala dan mampu mengurangkan beban perbelanjaan untuk tempoh jangka panjang. Pengenalannya selaras dengan misi kerajaan, untuk mengadakan 100,000 motosikal elektrik menjelang tahun 2020. Treelektrik T90 telah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan boleh digunakan atas jalan dengan pendaftaran, cukai jalan dan insurans yang sah seperti motosikal biasa.

Layari www.treeletrik.com untuk maklumat lanjut.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button