Artikel PilihanBuletin

TWIN RING MOTEGI – SUMBANGAN BESAR HONDA DALAM INDUSTRI AUTOMOTIF.

Kalau kau minat kereta, minat berlumba, main Playstation, Gran Turismo dan beberapa permainan video popular yang lain, litar Twin Ring Motegi pasti berada dalam salah satu senarai. Antara game yang popular ialah Forza Motorsport, Grand Turismo dan iRacing.com.

“Kita sudah melalui satu perjalanan yang panjang penuh halangan untuk menyaksikan Twin Ring Motegi jadi relliti. Seperti kata pepatah. ‘Bila mengambil air dari perigi untuk minuman, ingatlah kepada mereka yang telah mencurahkan usaha menggalinya.’ Kejayaan membina litar ini merupakan hasil usaha warga Motegi sendiri dan para jurutera Honda yang mengusahakannya. Kita mesti sentiasa mengingati fakta ini.”

Kata-kata di atas diucapkan oleh Takeshi Abe, Datuk bandar Motegi-machi, yang berucap sebelum upacara pembukaan Twin Ring Motegi pada 1 Ogos 1997. Ucapan Abe bergema di seluruh pergunungan Motegi dan dalam hati mereka yang hadir pada hari bersejarah itu.

HONDA PEMANGKIN PEMBANGUNAN

Pada pertengahan 80-an, Honda akhirnya muncul menempa nama setelah sekian lama bersaing dengan Yamaha. rentetan itu, Divisyen Jualan Motosikal di ibu pejabat Honda telah meneliti projek yang dinamakan “Motor Gelande” dalam bahasa Jepun yang bermaksud tanjakan untuk bermain ski.

Idea kakitangan bahagian jualan motosikal ialah untuk berkolaborasi dengan semua pengedar seluruh Jepun bagi mewujudkan satu fasiliti di mana para peminat motosikal boleh menikmati motosikal mereka sama seperti pemain ski yang mempunyai lapangan khusus untuk bermain ski.

Selain tujuan asal Honda dalam mengeluarkan satu persatu produk untuk pasaran, mereka yakin idea tentang fasiliti khusus ini akan berjaya walaupun pada tujuan asalnya ia hanyalah untuk kegunaan penunggang motosikal.

Staf bahagian jualan ini juga yang bertanggungjawab dalam menyumbang idea fasiliti khusus untuk motosikal di seluruh Jepun dan kini mereka mahukan sebuah fasiliti mega – pada skala antarabangsa di mana para penonton boleh menikmati keseronokan dunia perlumbaan kereta dan motosikal.

BACA: 10 FAKTA PENTING LITAR NURBURGRING

Mereka juga percaya ia merupakan tanggungjawab Honda selalu pengeluar kenderaan tersebut.

Projek tersebut dimulakan dan pasukan yang bergerak ke seluruh Jepun untuk menerangkan butirannya kepada para pengedar dan memastikan kerjasama para pengedar diperolehi. Selepas itu, para pengedar memilih lokasi sesuai dan memulakan program khusus untuk mempromosi aktiviti sukan bermotor.

Kelas memandu dibuka, termasuklah kelas pengenalan (beginner class) menggunakan motosikal 50cc.

Bagaimanapun idea asal tentang fasiliti mega masih samar-samar kerana ramai masih ragu-ragu tentang keuntungan dari projek ini walaupun mereka bersetuju dengan konsep tersebut.

BACA: ISLE OF MAN TT-LITAR PALING AGUNG!

Ini kerana pelaburan yang diperlukan memang cukup besar. Usaha ke arah itu digerakkan oleh Masatoshi Suzuki, pengarah urusan dan pengurus besar Motorcycle Japanese Operation Honda dan Yozo Yoshida dari Motor Recreation Promotional Headquarters.

Mereka berdua cukup yakin yang projek ini akan mengelakkan orang ramai hilang minat dengan kereta dan motosikal dan memandang keduanya sebagai objek semata-mata. Ia juga penting untuk meneruskan budaya permotoran di masa akan datang.

MENCARI LOKASI

Lokasi demi lokasi dicadangkan untuk projek Motor Gelande ini dan Yoshida bersama pasukannya melawat setiap satunya untuk mempelajari keadaan sesuatu kawasan dengan lebih dekat. Mereka dapati setiap tempat ada kelebihan tetapi ada juga kekurangannya.

Yoshida yang pernah berkhidmat dengan Soichiro Honda membuat keputusan untuk bertanyakan pendapat gurunya tentang pilihan yang tepat.

Soichiro memberi galakan dengan Yoshida berhak membuat keputusan sendiri atas satu nasihat – pilihan yang dibuat mestilah tepat kerana ia akan mempengaruhi perancangan seterusnya. Jumlah tanah yang dibeli juga haruslah mencukupi.

Yoshida kemudian telah menonton kejohanan supercross yang diadakan di Stadium Baseball Jingu pada November 1987. Walaupun motosikal tersebut dipecut sehingga melompat dengan bunyi enjin yang boleh didengari di seluruh stadium, bunyi bising tersebut seperti terperangkap di dalam kawasan stadium sahaja dan tidak merebak keluar.

Bentuk stadium itu sendiri yang berbentuk seperti sebuah kon terbalik membantu menyuraikan bunyi bising dengan baik. Dengan idea baru itu, Yoshida yakin satu daripada lokasi yang pernah dilawati memang merupakan lokasi terbaik.

Ia terletak di daerah Motegi dan dikelilingi dengan gunung-ganang yang akan menghadkan bunyi bising dari tersebar keluar.

Lokasi tersebut terletak di dalam daerah Motegi-machi meliputi kawasan seluas 6.6 juta meter persegi yang mampu memuatkan hampir 3 buah litar Suzuka. Ia juga berhampiran dengan Tokyo pada jarak 100 kilometer dan mengambil masa perjalanan cuma 2 jam dengan kereta.

Keputusan diambil dan lokasi tersebut dipilih untuk fasiliti automobil terbaru Honda.

Koichiro Yoshizawa, timbalan presiden Honda melawat tapak untuk memastikan sendiri kesesuaian lokasi dan bersetuju dengan pemilihannya. Ia juga sesuai dengan prinsip sinergi Honda. Pertama kesinambungan dalam industri automobil, motosikal dan kereta. Kemudian mereka juga akan mempunyai dua litar, Motegi di timur dan Suzuka di barat.

CABARAN DEMI CABARAN

Cabaran baru projek ini ialah untuk meyakinkan pemilik-pemilik tanah asal untuk menjual tanah mereka kepada Honda.

Walaupun berjaya meyakinkan pihak berkuasa tempatan tetapi ramai pemilik meragui niat Honda.

Malah timbul idea yang menyatakan Honda ingin membina tempat pembuangan sisa industri yang akan mencemarkan alam sekitar daerah Motegi. Rundingan demi rundingan dijalankan sehinggalah mereka berjaya meyakinkan 60 peratus sehinggalah ke 80 peratus pemilik.

Mereka turut membawa pemilik-pemilik tanah tersebut ke litar Suzuka untuk menunjukkan idea mereka kepada semua. Semakin ramai yang bersetuju tetapi masih ada yang tidak bersetuju.

Rundingan diteruskan secara adil untuk memelihara hubungan dengan semua pihak. Honda mahu memastikan imej syarikat kekal bersih sebagaimana ia ditubuhkan oleh pengasas terdahulu.

JANGAN BERPUTUS ASA!

Ramai mengatakan projek ini akan dibatalkan berikutan kejatuhan pasaran saham pada Februari 1990. Ekonomi Jepun jatuh menjunam menyebabkan timbul cadangan dari pihak pengurusan tertinggi untuk mengurangkan bajet ataupun menunda rancangan ini.

Bagaimanapun, Nobuhiko Kawamoto, Pengarah Urusan Kanan untuk projek ini kekal mempertahankan idea asal projek.

Pada Jun 1990, Kawamoto telah dilantik menjadi presiden syarikat, beliau melancarkan kempen iklan untuk merekrut pekerja-pekerja Honda yang berminat menyertai projek baru di Motegi ini.

Seramai 220 pekerja menyahut seruan beliau. Selepas melalui sesi temuramah yang panjang, 7 pekerja lelaki dan 3 pekerja wanita dipilih menjadikan jumlah ahli pasukan mereka berkembang kepada 25 orang dengan kemahiran dalam pelbagai bidang.

BACA: 10 LITAR PALING BERBAHAYA DI DUNIA

Pun begitu, mendung sekali lagi melanda projek ini bila timbul masalah selepas Honda diminta menyediakan laporan penyelidikan alam sekitar dan kesan pembangunan ke atas burung, serangga dan tumbuh-tumbuhan mengikut syarat wajib majlis perbandaran tempatan.

Selepas itu timbul pula spekulasi kononnya projek ini akan menjejaskan alam sekitar. Pelbagai bantahan disuarakan oleh banyak pihak ekoran khabar angin ini tetapi pihak Honda berusaha sedaya upaya bagi menjayakan projek sambil menyerap semua tekanan.

Bagaimanapun kesannya menyebabkan projek ini tertangguh lagi untuk kesekian kalinya.

Hajime Takakuwa, ketua projek litar Suzuka yang ditugaskan untuk merekabentuk litar bagi terbang ke AS pada bulan Mei 1993.

Sebaik menonton satu perlumbaan NASCAR di Charlotte, North Carolina, beliau kagum dengan jumlah penonton yang mencecah 100,000 orang. Malah beliau boleh mendengar mereka bersorak sambil bergembira dan tertanya-tany..

Apakah rahsia acara sebegini?

Pemerhatian beliau mendapati rekaan litar berbentuk oval tersebut membolehkan penonton melihat setiap aksi dalam perlumbaan dengan mata mereka sendiri. Bermula dari permulaan sehinggalah ke garisan akhir hanya sambil duduk ataupun berdiri di satu tempat sahaja.

IDEA BARU

Beliau melawat beberapa litar berkonsep yang sama di AS sambil membuat penyelidikan. Hasil temuramah beliau dengan petugas dan beberapa responden di sana mendapati litar oval mesti mempunyai panjang sekitar 2.4 kilometer untuk memastikan penonton tidak terlepas aksi dan keseronokkan sepanjang perlumbaan.

Inilah permulaan idea untuk litar oval Motegi. Selepas beberapa siri perbincangan tentang rekaan persetujuan dicapai. Ia juga bertepatan dengan keputusan Honda untuk menyertai perlumbaan IndyCar pada tahun 1994.

Projek Twin Ring Motegi dimulakan dengan bajet 43 billion yen dan akan disiapkan menjelang 1997. Datuk bandar Motegi-machi juga memberikan sokongan penuh terhadap projek ini kerana mereka yakin fasiliti perlumbaan bertaraf dunia adalah jauh lebih penting dari mengekalkan jalan raya konsep lama.

Selepas melalui tempoh yang panjang, fasiliti yang dinamakan Twin Ring Motegi akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 1997. Ia dirasmikan pada 31 Julai 1997 dengan 2,000 orang berkumpul di sana termasuklah, pemilik tanah asal, penduduk setempat, pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan pembinaan dan wakil-wakil dari Honda.

Ia bukan hanya litar lumba dengan unsur alam sekitar tetapi merupakan satu tempat pertemuan anda kenderaan, manusia dan alam sekitar secara keseluruhannya.

Pada Mac 1998 litar ini menganjurkan perlumbaan IndyCar pertama dengan jumlah penonton 55,000 orang. Mereka berjaya membawa dan memperkenalkan budaya permotoran Amerika yang cukup meriah, bising dan penuh kelajuan ke Jepun.

Selain acara perlumbaan, Twin Ring juga menempatkan Honda Collection Hall yang mempamerkan kenderaan bersejarah Honda seperti kereta dan motosikal lumba. Satu lagi bahagian digelar Honda Fan Fun Lab yang menempatkan peralatan teknologi baru Honda dalam arena robotik, fuel-cell dan penerbangan.

GALERI:

Google ads
Back to top button