Buletin

ULANG TAHUN KE-50 TOYOTA COROLLA – KERETA TERLARIS DI DUNIA!

43 juta unit dan semakin bertambah. Itulah jumlah Toyota Corolla yang telah terjual di seluruh dunia sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1966. Ini menjadikannya model kereta paling laris jualannya di seluruh dunia sepanjang zaman.

Bagi ramai peminat, Toyota Corolla bukan sahaja sebagai satu jentera pengangkutan, tetapi lebih kepada teman dalam mengharungi detik-detik indah kehidupan, simbol kejayaan dan menjadi warisan keluarga.

Sebelum kewujudan model-model kereta buatan nasional di Malaysia, Corolla merupakan sebuah kereta yang menjadi pilihan utama kebanyakan keluarga  di Malaysia. Ia juga dianggap sebagai ahli keluarga yang setia membawa anda ke mana sahaja destinasi yang ingin ditujui.

BACA: TOYOTA COROLLA ALTIS BAKAL GUNA ENJIN BMW

Toyota Corolla yang pertama telah dikeluarkan pada bulan November 1966 di Jepun sebelum mula dieksport ke luar negara pada tahun berikutnya. Pada tahun 1970,  Toyota Corolla telah menjadi kereta import paling popular di Amerika Syarikat. Ia  berikutan krisis minyak dunia yang memaksa ramai pengguna bertukar kepada kenderaan alternatif yang lebih ekonomik.

Corolla juga telah berkembang tahun demi tahun dengan ruang kabin yang luas, lebih berkuasa, efisyen dan selamat berikutan ciri-ciri keselamatan yang ditambah padanya.

Pada tahun 1997, jualan Toyota Corolla telah mencapai 30 juta unit di seluruh dunia. Sekali gus mengatasi Volkswagen Beetle sebagai kenderaan paling laris di peringkat global.

BACA: KISAH KERETA BARU TOYOTA CELICA DAN COROLLA (1974) YANG TERSADAI DI CYPRUS

Kini, walaupun dengan persaingan yang hebat diberikan oleh jenama-jenama lain, Toyota mampu bersaing dengan memasarkan sekitar 1.5 juta unit Corolla setahun dan merangkumi pasaran di 150 buah negara.

Bagi memperingati ulang tahun ke-50 Corolla, Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengeluarkan Toyota Corolla SE 50th Anniversary Special Edition dengan sentuhan yang bergaya dan elegan.

Model itu didakwa hanya dihasilkan sebanyak 8,000 unit sahaja. Sama ada ia akan dipasarkan di Malaysia ataupun tidak, belum dapat dipastikan. Model edisi khas 50 tahun itu juga mempunyai pilihan warna istimewa yang diberi nama Black Cherry Pearl, selain Classic Silver dan Blizzard Pearl.

Bahagian dalaman model edisi khas itu bertemakan Black Cherry dengan jahitan warna berbeza yang menjadikannya cukup elegan. Ia dilengkapi skrin paparan sentuh bersaiz 7-inci pelbagai fungsi. Di samping butang penghidup enjin, sebelum diakhiri dengan logo edisi ulangtahun ke-50 yang disulam pada pelapik kaki dan insignia khas pada but belakang.

Sama seperti Corolla lain, ia jelas menunjukkan ketinggian kualiti pembuatan Toyota, ketahanan dan boleh dipercayai dalam apa jua situasi. Apa yang lebih menarik, semua itu  digabungkan dalam satu pakej yang mampu dimiliki.

Mahu maklumat lebih lanjut mengenai 50 tahun Corolla? Klik pautan ini: http://tyt.my/2kkhebg

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button