Buletin

UMW TOYOTA PANGGIL SEMULA PRIUS & LEXUS CT200h

GIliran UMW Toyota Motor pula buat pengumuman panggilan semula (recall) akibat masalah inflator beg udara dan masalah kanister tangki bahan api kenderaan keluaran mereka.

UMW Toyota menamakan kempen ini sebagai Special Service Campaign (SSC). Model yang terlibat ialah Toyota Prius 1.8 yang diproduksi bermula April 2009 hingga April 2012. Selain Lexus CT200h yang dipasang pada Disember 2010 hingga April 2012. Jumlah kenderaan yang terlibat dianggarkan sebanyak 3,500 unit Prius dan 1,700 unit CT200h.

Kedua-dua model ini terlibat dalam masalah reka bentuk beg udara sisi (curtain sheild) yang terletak di bahagian kiri dan kanan roof rail. Mekanisma penggalak dikenal pasti sebagai punca utama yang memberi risiko apabila beg udara ini pecah, di mana bahagian inflator mungkin retak kerana dipateri bersama.

Semasa kempen SSC ini, semua model yang terlibat akan dipasang dengan braket tambahan untuk mengelakkan inflator ‘menembak’ ke dalam kabin ketika beg udara meletup. UMW Toyota menganggarkan jangka masa penukaran sekitar 2 hingga 4 jam bergantung kepada jadual dan pusat servis.

Masalah kedua ialah kanister pengawal emisi bahan api pada Prius dan CT200h. Bilangan unit yang terlibat dianggarkan 6,000 unit Toyota Prius (yang dikilangkan pada April 2009 hingga November 2013) serta 3,000 unit Lexus CT200h (yang dikeluarkan antara Disember 2010 hingga Disember 2013).

Lexus-CT200h-recall-2016-mekanika (1)

Ada kemungkinan akan berlaku keretakan pada kanister ini berikutan masalah reka bentuk. Dalam jangka masa panjang, ia mungkin menyebabkan kebocoran jika tangki diisi penuh petrol.

Sebagai langkah penyelesaian, plat besi sekunder akan dipasangkan di bahagian penyedut bahan api. Tempoh yang diambil sekitar 2 hingga 3 jam bergantung pada situasi.

Lexus-CT200h-recall-2016-mekanika (2)

Pemilik yang terlibat akan dimaklumkan oleh SSC dan akan diminta membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis Toyota atau Lexus. Semua proses pembaikan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh UMW Toyota.

Pelanggan yang tidak menerima sebarang notifikasi diminta atau memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi 1800-8-TOYOTA (869682)  atau1800-8-LEXUS (53987).

Google ads
Back to top button