Buletin

UMWT PERLUAS KEMPEN PENUKARAN BEG UDARA TOYOTA VIOS, ALTIS, YARIS DAN ALPHARD

Keselamatan para pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Toyota. UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), selaku pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia telah mengumumkan Kempen Servis Istimewa (SSC) untuk menukarganti modul inflator beg udara bahagian penumpang hadapan beberapa model yang telah dipasarkan di Malaysia.

Special Service Campaign (SSC) ini diperkembangkan daripada kempen terdahulu yang dilancarkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) berikutan masalah pada sesetengah model yang dilengkapkan dengan modul inflator beg udara.

Masalah yang dikesan pada modul itu kemungkinan akan mengakibatkan beg udara diaktifkan secara tidak sengaja berikutan kandungan dalam modul inflator itu terdedah kepada kelembapan yang tinggi dan keadaan suhu yang terlampau panas. Ia juga kemungkinan mengakibatkan beg udara diaktifkan dan kandungan serpihan dalamannya memecahkan karung beg udara adalah tinggi. Keadaan ini mungkin mengakibatkan kecederaan yang serius kepada penumpang dan mungkin juga membawa maut.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Toyota Motor Corporation, jumlah Toyota Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard di Malaysia ialah sekitar 42,000 unit. Kenderaan yang terlibat ialah kenderaan yang diperbuat dari Mei 2010 sehingga Disember 2012 dan diedarkan oleh UMWT.

TMC kini dalam proses mendapatkan alat-alat ganti yang diperlukan untuk menjayakan SSC ini. Sebaik sahaja semua alat ganti diperolehi, UMWT akan memaklumkan kepada semua pemilik meminta agar membawa kenderaan mereka ke mana-mana pusat servis bertauliah Toyota untuk ditukarganti. Proses penukaran ini mengambil masa sekitar 1 ke 3 jam. Semua kos untuk penukaran modul inflator ini akan ditanggung sepenuhnya oleh UMWT.

UMWT cukup mementingkan keselamatan pemilik-pemilik Toyota yang terlibat dalam kempen penukaran modul inflator beg udara SSC ini dan mengambil langkah agresif dengan menghubungi semua pemilik terlibat dan bukannya menunggu mereka datang sendiri.

Syarikat juga sedar yang kemungkinan setengah pemilik kenderaan tersebut bukanlah pemilik asal dan mungkin agak sukar untuk dihubungi. Justeru itu, mereka menggalakkan para pemilik yang terlibatagar dapat menghubungi mana-mana pusat servis bertauliah Toyota atau berhubung terus dengan talian percuma Toyota 1-800-8-TOYOTA (869682).

Pemilik-pemilik Toyota juga boleh melawat laman web SSC Toyota di:

https://toyota.com.my/aftersales-services/special-service-campaigns untuk menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dengan kempen ini dengan menggunakan nombor casis kereta anda. Bagi pemilik yang sudah memuat turun aplikasi Toyota Drive Apps, terdapat juga fungsi untuk menyemak nombor casis kenderaan anda di situ.

Sebagai usaha tambahan untuk membantu pemilik membuat pertukaran modul tersebut, UMWT juga telah mewujudkan sudut khusus pada acara TOYOTA GO 2017 yang akan diadakan sepanjang April sehingga May tahun ini.

Acara ini akan diadakan di beberapa pusat membeli belah terpilih di seluruh Malaysia termasuk Aeon Mall. Khidmat penukaran modul inflator beg udara juga akan disediakan di setiap lokasi. Pengumuman tentang lokasi-lokasi acara ini akan diadakan kemudian.

BACA: UMWT PANGGIL SEMULA PRIUS DAN CT200H

BACA: INI ANTARA RECALL TERBESAR DALAM SEJARAH MOTOR

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button