Buletin

VAN RENAULT KHAS YANG NAMPAK JAHAT – RENAULT FORMULA EDITION

Dalam sukan Formula Satu sekarang ini hanya ada dua sahaja pengeluar kenderaan kebanyakan. Yang pertama ialah Renault dan kedua ialah Honda, itupun hanya sebagai pembekal enjin kepada pasukan lain.

Pengeluar sedia ada seperti Mercedes-Benz, McLaren atau Ferrari berada dalam segmen kenderaan mewah dan eksotik. Oleh itu, capaian teknologi yang digunakan pada Formula Satu agak jauh untuk dinikmati oleh pengguna kebanyakan.

Di situlah terletak kelebihan Renault yang sudah lama bersaing dalam perlumbaan termahal dunia. Bukan sahaja mereka lengkap dengan ilmu dan pengalaman perlumbaan malah turut mempunyai sokongan seperti logistik yang memainkan peranan besar dalam sukan ini.

Untuk itu, Renault Pro+ yang bertanggung jawab dalam kenderaan komersil Renault telah terpilih sebagai rakan logistik rasmi pasukan Formula Satu Renault Sport.

Sempena perlantikan tersebut, Renault memperkenalkan edisi khas tiga buah modelnya yang dikenali sebagai Kangoo, Trafic dan Master Formula Edition.

Bayangkan Toyota Hiace atau Nissan Urvan dan NV200 diiktiraf sebagai kenderaan rasmi Formula Satu, begitulah lagaknya.

Gayaan van Formula Edition nampak ‘jahat’ dalam warna Pearlescent Black yang diselangi grafik dan elemen berwarna kuning. Selingan warna kuning tersebut dibuat pada gril, penutup lampu kabus dan juga pada sisi van.

Roda aloi warna hitam menyerlahkan lagi imej edisi istimewa ini yang dilawan dengan penutup tengah rim berwarna kuning.

Untuk hiasan dalaman pula, model Traffic dilengkapi stereng dan tombol gear balutan kulit, lingkaran radio dan pembesar suara berwarna satin, lingkaran corong penyaman udara hitam kilat, pembuka pintu krom dan ruang storan tertutup pada papan pemuka.

Untuk model Master, suis kawalan dilingkari kemasan krom, lingkaran satin pada corong udara dan ruang storan tertutup pada papan pemuka. Bahagian tengah papan pemuka mempunyai rasa yang lebih berkualiti varian lain.

Model Kangoo pula istimewa dengan stereng balutan kulit dan ketiga-tiga model mempunyai karpet khas Formula Edition. Selain itu kesemua model mempunyai fungsi kawalan jelajah dan pelanggan yang tidak mahukan warna hitam boleh memilih satu lagi warna khas iaitu Star Grey.

Dalam sesi perlumbaan Formula Satu di benua Eropah, ketiga-tiga model Master, Trafic dan Kangoo digunakan oleh Renault Sport untuk menghantar peralatan dan perkakasan penting yang digunakan oleh jentera lumba dan juga sebagai kenderaan pengangkutan ahli pasukan.

Masa adalah sangat penting dan di sinilah letaknya peranan kenderaan rasmi tersebut. Di situ juga terletak kelebihan yang ada pada Renault. Teknologi pada perlumbaan Formula Satu telah dipindahkan kepada kenderaan jalanan Renault.

Van ini walaupun digunakan dalam sektor komersil ia turut menerima faedah kejuruteraan Renault dalam Formula Satu. Di antaranya ialah omboh bertetulang aluminium (reinforced aluminium pistons), brek regeneratif dan juga reka bentuk aerodinamik bagi menambah baik kuasa dan penggunaan bahan api.

Selain itu, tahap servis yang ditawarkan Renault Pro+ kepada pelanggan umum juga hebat, di antaranya ialah diagnosis kerosakan dijamin dibuat dalam masa sejam dan jika perlu, kenderaan pinjaman akan diberikan supaya urusan bisnes tidak terganggu.

Harga termasuk cukai VAT Formula Edition untuk Renault Kangoo bermula dari GBP 17,695 (RM 97,589.09), Kangoo Maxi dari GBP 19,195 (RM 105,861.69), Trafic dari GBP 24,500 (RM 135,090.37) dan Master dari GBP 31,300 (RM 172,584.84).

BACA: CLIO RENAULT SPORT KINI DENGAN PILIHAN BLACK EDITION – DARI RM 115K SAHAJA

BACA: PENCABAR TYPE R DARI EROPAH – RENAULT MEGANE RS KINI DENGAN MANUAL DAN KLAC BERKEMBAR

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”23″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button