Buletin

VELOSTER N – 275hp, ADA MODE PEMANDUAN N GRIN CONTROL SYSTEM 

Hyundai semalam memperkenalkan model berkuasa tinggi, Veloster N untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) pada acara Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS 2018).

Model N pertama untuk negara Uncle Sam dibina untuk membuatkan jantung pemandunya berdegup lebih pantas ketika dipandu. Jentera itu dibangunkan dengan keupayaan mengambil selekoh, bersama kemampuan beraksi di atas litar dan boleh dipandu setiap hari.

Veloster N dihasilkan di pusat R&D global Hyundai, Namyang, Korea Selatan dan pusat ujian di Nurburgring, Jerman. Ia bakal memulakan produksi di Ulsan pada September 2018 dan berada di pasaran AS menjelang suku keempat tahun ini.

“Veloster N merupakan satu lagi bukti keupayaan Hyundai Motors dalam menghasilkan kereta sports yang dinamik dan berprestasi tinggi,” kata Presiden dan Ketua Divisyen Pembangunan Prestasi dan Kenderaan Berprestasi Tinggi Hyundai Motor Group, Albert Biermann. 

Jentera ini dibezakan dengan model Veloster biasa menerusi fascia dan gril eksklusif N-design. Ia dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci yang dibalut tayar Pirelli P-Zero.

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan spoiler N-design lebih besar, peresap udara dan ekzos berkembar.

Veloster N menggunakan khidmat enjin turbo bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa 275hp dan tork 352Nm dari 1,450-4,700rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear manual nisbah pendek enam kelajuan.

Kemantapan pengendalian disumbang oleh reka bentuk gandar N Power Sense Axle. Sistem itu menawarkan maklum balas stereng yang lebih tepat dan pantas. Ia juga dipasang dengan suspensi multi-mode yang dikawal secara elektronik.

Melalui N Grin Control System, pemandu boleh memilih mode pemanduan sama ada Normal, Sport, N, Eco dan N Custom.

Veloster N hadir dalam empat warna iaitu hitam, putih, merah dan biru.

Google ads
Back to top button