Buletin

VGM Lantik CEO Baharu

Dr. Zeno Kerschbaumer mulakan tugas pada 1 Januari 2013.

Volkswagen Group Malaysia (VGM) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Dr. Zeno Kerschbaumer sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru berkuatkuasa 1 Januari 2013.

Dr. Kerschbaumer mengambil-alih tugas daripada Ricky Tay yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Volkswagen Group Import (China) Co. Ltd yang berpangkalan di Beijing, China. Ricky akan bertanggungjawab ke atas operasi beberapa jenama di bawah Volkswagen Group di sana.

Ricky, 56, telah berjaya menjadikan Volkswagen sebagai jenama kenderaan Eropah nombor satu di Malaysia. Di bawah kepimpinannya, VGM telah mencatat peningkatan lebih 100 peratus dari segi volum jualan, selain melancarkan kira-kira 18 model dan varian.

“Tempoh berkhidmat di Malaysia sangat bermakna kerana ia memberi pengetahuan mendalam mengenai industri automotif di sini. Saya juga gembira menjadi sebahagian daripada perkembangan jenama Volkswagen di Malaysia,” kata Ricky.

Dr. Kerschbaumer, 50, telah bersama dengan Volkswagen Group sejak 1990. Jawatan terakhirnya ialah Pengarah Urusan Volkswagen Group Singapura.

“Saya berbesar hati kerana dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di VGM, terutama ketika pertumbuhan pesat jenama Volkswagen di Malaysia. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan sedia ada dan membawa syarikat ke tahap seterusnya,” kata Dr. Kerschbaumer.
[hr top]

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button