Artikel PilihanBuletin

VLADIMIR PUTIN MAKAN ANGIN DENGAN KENDERAAN 6X6 TREKOL-TROPHY, BUATAN RUSSIA

Presiden Russia Vladimir Putin memang seorang pemimpin dan individu yang unik. Beliau merupakan seorang pemegang tali pinggang judo kelas tertinggi, menjejak beruang polar di Kutub Utara dan sesekali memandu kereta lumba. Melihat kepada aktiviti beliau membuatkan beliau kelihatan seperti watak protagonis yang kaya raya dalam filem-filem James Bond.

Beberapa minggu lepas, sewaktu menghadiri Forum Artik Antarabangsa di Arkhangelsk, Russia, Putin menyatakan yang beliau ingin melihat dan memeriksa sendiri gua-gua airbatu yang terletak berhampiran dengan pangkalan tentera Russia yang baharu sahaja dinaiktaraf di situ. Kenderaan pilihan Putin untuk membawa beliau ke sana ialah jentera 6×6 amfibia gergasi yang dinamakan Trekol-Trophy.

Dilihat pada gambar yang disertakan kenderaan ini sememangnya sebuah jentera off-road yang ‘gila’. Ia kelihatan seperti sebuah Jeep yang dilukis oleh budak-budak yang baharu masuk tadika. Namanya? Haram tak kreatif.

Mana taknya, ia dinamakan Trekol-39294. Ia merupakan salah satu model yang paling menakjubkan dikeluarkan oleh syarikat ini dan diletakkan dibawah label ATV (All-Terrain-Vehicle). Hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada gentian kaca.

Kenapa gentian kaca? Ini kerana ia mempunyai kadar konduktiviti haba yang sangat rendah bagi membolehkan ia beroperasi pada suhu serendah -45°C sehinggalah ke 45°C. Kelajuan maksima yang mampu dicapai ialah sekitar 70 km/j. Ok lah tu, ini bukannya kereta lumba pun.

BACA: JEEP WRANGLER HELLHOG 6X6

BACA: HENNESSEY VELOCIRAPTOR: 6 X 6 = RM1.2 JUTA

Kenderaan 3-pintu ini mampu memuatkan sehingga 8 orang dalam satu-satu masa dengan dua bangku di bahagian belakang ala kenderaan tentera. Ia mungkin tidak sehebat The Beast kepunyaan Presiden AS tetapi rasanya tidak ramai musuh Putin yang sedang menghendap beliau di Artik Russia.

Bahagian kargo belakang mampu memuatkan sehingga  700 kilogram beban. Terdapat empat pilihan enjin untuk Trekol-39294 ini, dua petrol dan dua lagi turbodisel. Terdapat juga pilihan kelengkapan water jet untuk bergerak di dalam air. Kesemua model mempunyai berat hampir 3 tan (lepas lagi dipandu dengan lesen D di Malaysia).

Kalau anda memang kaki 4×4 apa kata anda saksikan video di bawah yang memaparkan keseluruhan model Trekol sedang beraksi. Memang hebat benda alah ni, patutlah Putin memilihnya untuk bersiar-siar di Artik Russia.

Ia sebuah video yang menarik dan aneh, memang gaya Russia sejati dan bukan macam Hummer yang menjadi kenderaan rasmi penganyi rap di Amerika. Terdapat juga rakaman seorang lelaki yang sukarela dilenyek oleh Trekol dan video ini.

DI bahagian akhir juga turut menunjukkan seekor tikus yang secara tidak sukarela turut dilenyek dengan Trekol di atas ais tetapi masih hidup selepas itu. Ini kerana Trekol dilengkapi dengan tayar bertekanan rendah bersaiz besar untuk memudahkannya bergerak di permukaan yang sukar.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button