Buletin

VOLVO SERTAI PAMERAN KERETA TETAPI TANPA KERETA (MACAM MANA TU?)

Volvo Cars sekarang ini bebas berkarya setelah pelbagai model keluarannya mendapat sambutan hangat. Ini adalah era keemasan Volvo di mana produknya diterima ramai dan keuntungan pula semakin meningkat.

Volvo juga sedang mencorak masa depan syarikat dan mereka percaya dengan tiga perkara. Teknologi elektrifikasi, pemanduan autonomi dan kereta berhubung.

Kreativiti dan keunikan Volvo nampaknya dilampiaskan pada Pameran Kenderaan Automobility LA tahun ini apabila hadir dengan tiada satu kereta pun dipamerkan.

Bayangkan anda ke ruang pameran Volvo tetapi tiada kereta untuk dilhat. Ini adalah suatu yang aneh dan di luar pemikiran biasa.

Apa yang dibawa oleh Volvo ialah pertunjukan visinya dalam memberi definisi kereta masa hadapan.

Hujahan Volvo ialah sejak pameran kenderaan dianjurkan, kereta adalah objek utama yang diputar atas pentas atau diselubungi kain.

Tetapi kereta hari ini sudah berubah, begitu juga industri dan jangkaan mereka yang menggunakan kereta. Volvo pada pameran kali ini adalah jelmaan kepada perubahan tersebut.

Volvo juga percaya pelanggan hari ini lebih menghargai pengalaman pemilikan sesuatu jenama berbanding perkara hiasan seperti krom, kulit atau kuasa kuda.

Menurut Mårten Levenstam, individu yang bertanggung jawab terhadap strategi produk Volvo Cars, daripada membawa kereta konsep, kami membawa konsep sebuah kereta.

Walaupun bunyinya sensasi, dalam ayat ringkas apa yang Volvo mahu buat ialah mereka tidak bawa kereta ke ruang pameran kerana mahu menunjukkan pelbagai perkhidmatan yang bakal ditawarkan kepada pengguna pada masa depan.

Pameran kali ini lebih kepada pertunjukan teknologi dan perkhidmatan Volvo kepada pengguna.

Volvo akan membuat demonstrasi interaktif perkhidmatan terhubung seperti khidmat penghantaran barang ke kereta (tanpa kehadiran pemilik kereta), perkongsian kereta, visi dalam pemanduan autonomi (Volvo 360C concept) dan khidmat servis Care by Volvo.

Dalam pameran ini Volvo turut menayangkan teknologi dengan rakan strategik mereka seperti Amazon, Google, Nvidia serta syarikat start-upstart Luminar dan Zenuity.

Apa pun perancangannya terpulang kepada Volvo, teknologi seperti ini boleh dianggap terlalu sofistikated untuk sesetengah pasaran dunia.

Pasaran perlukan masa seperti mana teknologi keselamatan dan pemanduan Volvo pada suatu masa dahulu lebih ke hadapan berbanding pengeluar lain.

Dalam perniagaan, jualan adalah kunci utama kepada survival.

BACA: VOLVO DIUNDI SEBAGAI KERETA PALING CANTIK – ATASI JENAMA PREMIUM LAIN DI UK!

BACA: VOLVO XC40 CATAT 5 BINTANG EURO NCAP – MAKAN APA HEBAT SANGAT NI?

Google ads
Back to top button