VW BAKAL BINA JENAMA MURAH UNTUK PASARAN CHINA
Pada Persidangan Media Tahunan VW AG, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group, Matthias Muller mengesahkan bahawa pihaknya akan melancarkan jenama kenderaan murah di pasaran China menjelang tahun 2018.
Untuk pasaran China, Volkswagen sudah bekerjasama dengan FAW Automotive China sejak tahun 1990 lagi. Sebelum itu, ia ada menjalin usahasama dengan SAIC Group pada tahun 1984.
Hasil kerjasama itu ialah model Santana yang menjadi pilihan pemandu teksi di republik tersebut. Hari ini, kerjasama dengan syarikat China sudah berjaya menjual banyak kenderaan Volkswagen termasuklah Phideon.
Bagi jenama murah itu pula, Volkswagen didakwa bakal menghasilkan model sedan, SUV dan hatchback. Muller memberitahu, akan ada dua model SUV dengan salah satunya bersaiz sederhana.
“Kami akan bekerja keras untuk menghasilkan kereta bajet dengan kolaborasi FAW-Volkswagen. Kami merancang untuk menjadikannya satu jenama sendiri di pasaran ini,” jelas Muller.
Ia akan menjadi jenama ke-13 dalam portfolio VW AG. Kenderaan tersebut dijangka ditawarkan pada herga bermula AS$9,110 (RM35,600) seunit.