Buletin

VW MALAYSIA SUMBANG 200 KERUSI KANAK-KANAK

Volkswagen Malaysia telah bekerjasama dengan Persatuan Pengasuh Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan penumpang kanak-kanak.

Volkswagen-ISOFIX-mekanika (3)

Dilancarkan pada Disember tahun lalu, kempen ini bertujuan mendidik kira-kira 28,000 ibu bapa mengenai pentingnya penggunaan tempat duduk kanak-kanak di dalam kenderaan dengan betul.

“Kolaborasi kami dengan PPBM melibatkan pelancaran modul latihan Keselamatan Penumpang Kanak-kanak (CPS). Kami juga berbesar hati untuk menyumbang 200 unit tempat duduk kanak-kanak Volkswagen bagi tujuan pendidikan dan memberikan 10,000 salinan kad yang lengkap mengenai keselamatan jalan raya kepada semua peserta yang terlibat,” kata Pengarah Sumber Manusia Volkswagen Malaysia, Sharifah Salmah Syed Harun.

Sehingga Ogos 2015, bengkel-bengkel CPS akan dijalankan di 280 pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara. Ia turut melibatkan bantuan secara amali mengenai penggunaan sistem keselamatan kanak-kanak dan tali pinggang keledar. Sehingga kini, sebanyak 100 tempat duduk keselamatan kanak-kanak telah diedarkan di rangkaian PPBM di beberapa buah negeri untuk membantu dalam latihan tersebut.

Volkswagen-ISOFIX-mekanika (1)

“Statistik menunjukkan bahawa tempat duduk kanak-kanak mampu mengurangkan risiko kematian bayi sehingga 71% dan 54% untuk kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun. Situasi ini menguatkan hasrat kami untuk menawarkan ciri-ciri keselamatan di dalam kenderaan Volkswagen seperti ISOFIX dan banyak lagi,” kata Sharifah.

Salah satu ciri keselamatan yang paling paling penting untuk kanak-kanak di dalam kenderaan ialah ISOFIX. ISOFIX yang ada pada semua model Volkswagen merupakan poin cagak, ia membolehkan dua buah tempat duduk kanak-kanak yang padan dengan ISOFIX dipasang pada tempat duduk belakang.

Volkswagen-ISOFIX-mekanika (2)

ISOFIX diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1997 sebagai hasil pembangunan bersama di antara Volkswagen dan pembuat kerusi keselamatan kanak-kanak Britax-Roemer. Mulai 1 Januari 2015, semua pengeluar kenderaan di Malaysia perlu menyediakan ciri  ISOFIX pada kenderaan baharu mereka.

Cadangan penguatkuasaan penggunaan tempat duduk bayi dan kanak-kanak di dalam kenderaan sememangnya diterima baik oleh kerajaan. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, ibu bapa mestilah peka mengenai keselamatan anak-anak di dalam kenderaan. Statistik pada tahun 2013 menunjukkan seramai 53 orang kanak-kanak dan bayi terlibat dalam kemalangan dengan 31 daripada mereka maut.  

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button