Buletin

VW T-ROC – SAINGAN HONDA HR-V & TOYOTA C-HR

Sekarang ini jualan segmen C nampak macam hambar. Di negara kita, segmen kereta penumpang itu didominasi oleh Honda Civic. Sekali-sekali ternampak Toyota Corolla Altis dan paling jarang terserempak ialah Nissan Sylphy.

Adakah masyarakat kurang membeli sekarang ini? Tidak juga walaupun angka jualan kereta sedikit menurun.

Jawapannya ialah banyak yang beralih arah. Mereka membeli SUV seperti Honda HR-V atau memilih kereta segmen B seperti Honda City, Proton Persona dan Toyota Vios. Nissan? Masih menjual Almera.

Satu kelebihan SUV tidak kira sama ada bersaiz besar, sederhana atau kompak ialah jarak kelegaan bumi tinggi yang memberikan penglihatan lebih luas berbanding visual pada kereta. 

Sekarang ini adalah zaman SUV terutama sekali dalam saiz kompak dan ia berjaya menarik pengeluar ternama memasarkan model mereka sendiri.

Paling baharu memasuki segmen ini ialah Volkswagen melalui model T-Roc yang dikatakan sebuah kompak crossover.

Pakar industri menganggarkan saiz segmen SUV akan meningkat dua kali ganda dalam dekad seterusnya dan VW sendiri mengakui bahawa itu adalah alasan kenapa mereka memperkenalkan T-Roc.

Sama seperti model VW terbaru lain, T-Roc berkongsi platform MQB dan ia diposisikan satu segmen di bawah Tiguan dan tampil dengan pelbagai ciri canggih dan unik selain daripada nama T-Roc itu sendiri.

Berikut ialah ciri-ciri yang ada pada SUV kompak terbaru dari Jerman ini:

Enjin dan transmisi

VW menawarkan enam jenis enjin iaitu tiga petrol dan tiga diesel. Sesaran enjin bermula dari 1.0 TSI Turbo, 1.5 TSI Evo dan 2.0 TSI. Enjin diesel pula terdiri dari 1.6 dan dua 2.0 liter (148 bhp & 197 bhp).

Transmisi seperti biasa, enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan DSG. Untuk pacuan pula pembeli boleh memilih di antara 2WD dan AWD 4Motion yang menawarkan lebih cengkaman di atas jalan raya licin.

Rekabentuk

Gayaan funky bukanlah falsafah VW. Walau bagaimanapun VW cuba menyuntik sedikit elemen itu apabila T-Roc ialah SUV pertama yang tampil dengan pilihan warna dua tona bagi membezakan badan dan bumbung. Itu pun hanya dari cermin sisi, tiang A dan bumbung.

Dari depan, gayaan selamat atau timeless diserikan dengan radiator yang disekalikan bersama gril manakala lampu posisi pada kedua sisi bamper pula memberikan penampilan jelas SUV ini pada waktu malam.

Dari tepi, besi krom dari tiang A ke tiang C pula menyerlahkan bentuk T-Roc ibarat sebuah coupé. Plastik berwarna gelap yang dilekapkan sekeliling SUV ini pula menggambarkan imej sebagai kenderaan off-road walaupun ia lebih dibina untuk kegunaan di bandar.

Interior

Nampaknya interior T-Roc lebih menyerlah berbanding luaran yang nampak bersahaja. Panel papan pemuka menggunakan tema warna sama seperti badan luar. Ia turut dilengkapi meter digital sepenuhnya yang dipanggil Active Info Display.

Saiz ruang bagasi agak besar sebenarnya iaitu 445 liter dan apabila kerusi belakang dilipat sepenuhnya, ruang tersebut meningkat kepada 1,290 liter.

Namun seperti mana-mana SUV kompak sekelasnya, ruang kelegaan kepala penumpang dewasa agak terhad.

Teknologi keselamatan

Walaupun varian asas, T-Roc dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan standard seperti Front Assist dengan City Emergency Braking dan Pedestrian Monitoring, Automatic Post-Collision Braking System dan Lane Assist. 

Mereka yang mahukan lebih ciri-ciri keselamatan pula boleh memesan tambahan sistem bantuan pemanduan seperti berikut:

  • Adaptive cruise control (ACC), Rear View reversing camera, Rear Traffic Alert, Blind Spot Monitor, Lane Assist, Park Assist dengan manoeuvring brake function, Traffic Jam Assist dan Emergency Assist. 

Sasaran pasaran dan harga 

VW mensasarkan T-Roc untuk pelanggan dari pelbagai peringkat umur sama ada yang mudah atau berusia. Jadi tidak hairanlah kenapa reka bentuknya mempunyai adunan ringkas dan menyerlah.

VW akan mula menjual T-Roc di pasaran Eropah bermula November ini dengan harga seperti pesaing lain iaitu sekitar EURO 20,000 atau bersamaan RM 101,981.57.

Menarik bukan jika ia dipasarkan di sini dan bersaing dengan Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3?

BACA: VOLKSWAGEN GOLF R 2017 – 310PS, 100km/j HANYA 4.6 SAAT

BACA: INILAH VW KOMBI TERAKHIR – DARI 1957 HINGGA 2013

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”13″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button