Buletin

VW TIGUAN 1.4 2WD – RM178,888

Volkswagen Group Malaysia (VGM) baru-baru ini memperkenalkan SUV kompak Tiguan 1.4 2WD ke pasaran tempatan. 

VW-Tiguan-mekanika (2)

Sedia maklum bahawa Tiguan ialah sebuah SUV sporty yang praktikal dan versatil, pada masa sama selamat dan tahan lasak. Berpegang kepada tagline Terokai Kehidupan (Explore Life), Tiguan menggabungkan prestasi luar biasa dengan penjimatan bahan api.

“Tiguan adalah penambahan terbaharu dalam rangkaian tawaran kami. SUV ini menawarkan pemanduan yang dinamik dan menyeronokkan di bandar, selain selesa untuk perjalanan jauh,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Christoph Aringer.

Sebagai salah sebuah model popular Volkswagen, Tiguan telah terjual hampir 600,000 unit di seluruh dunia sejak mula dilancarkan pada tahun 2007.

VW-Tiguan-mekanika (4)

Tiguan dilengkapi enjin petrol bersesaran 1.4 liter TSI bersama sistem pengecas turbo berkembar dan pancitan bahan api. Ia dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan. Kombinasi ini mampu menghasilkan tork maksimum 240Nm yang bermula dari serendah 1,500rpm. Ini membolehkan Tiguan memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 198km/j.

Dengan kombinasi terbaik teknologi TSI dan DSG, Tiguan berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 7.1 liter petrol untuk setiap 100km. Penjimatan itu ditingkatkan lagi menerusi sistem penghidup enjin start/stop automatik. Sistem ini menghalang enjin daripada melahu secara tidak perlu. Ia turut dilengkapi sistem brek janaan semula, di mana tenaga kinetik yang terhasil sewaktu memandu dan membrek akan diubah untuk mengecas bateri kenderaan.

Perlindungan penumpang sering menjadi keutamaan Volkswagen. Didatangkan dengan sistem pengesan mengantuk ‘Rest Assist’, ia akan memberi amaran apabila pemandu didapati mengantuk. Tiguan juga menampilkan sistem Electronic Stability Control (ESC) yang direka untuk menghalang masalah under-steer atau over-steer ketika mengambil selekoh.

VW-Tiguan-mekanika (3)

Pada bahagian kabin, jentera ini dilengkapi dengan enam beg udara (dua di hadapan, dua sisi dan dua curtain), tali pinggang keledar tiga poin standard dan perehat kepala hadapan yang dioptimumkan keselamatannya. Ia terbukti berkesan dalam membantu mengurangkan kecederaan kepala dan piat (whiplash) jika berlaku kemalangan.

Bahagian dalaman Tiguan nyata selesa. Dipasang dengan tempat duduk ‘Milan’ Alcantara, Tiguan hadir bersama brek parkir elektrik binaan dalam bersama ciri auto-hold, tuil gear dibalut kulit, cermin pandang belakang anti-silau automatik, lampu pada bahagian kaki, tempat duduk belakang boleh dilipat dengan fungsi gelongsor dan banyak lagi.

Untuk opsyen Tech Pack, Tiguan akan dipasang dengan kamera pandang belakang ‘Rear Assist’, pendingin hawa automatik ‘Climatronic’, sistem kawalan suhu dua zon, sistem audio RCD510 bersama skrin sentuh berwarna, ciri pemain MP3 dan 6 penukar cakera padat.

Tiguan didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, perak, Titanium Beige, kelabu, dan coklat. Harganya ialah RM178,888 dan RM188,888 untuk Tech Pack. Maklumat lanjut mengenai Tiguan, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button