WAJARKAH SUV BESAR HONDA PILOT (7 KERUSI) DIJUAL DI MALAYSIA?

SHARE

Setelah pelancaran Proton X70 pada penghujung tahun lalu, pasaran seakan terkejut dengan pakej yang ditawarkan SUV nasional itu. Nilai yang ditawarkan sangat tinggi berbanding pesaing lain pada harga yang sama.

Susulan itu, X70 menerima sambutan hangat, jumlah 10,000 unit sebelum pelancaran meningkat kepada 15,000 unit.

Fenomena tersebut tidak harus dipandang biasa-biasa kerana majoriti tempahan adalah model premium. Ini adalah sebuah SUV yang berharga lebih daripada RM 100,000 dan sedia maklum pembeli negara kita adalah sensitif kepada harga.

Nampaknya, pengguna di negara kita sudah bersedia untuk membayar enam angka untuk sebuah jenama tempatan asalkan ia sepadan dengan harga.

Kali terakhir fenomena seperti ini dirasai ialah melalui pelancaran Proton Perdana V6 berbelas tahun dahulu.

Dengan sambutan hangat yang diterima X70, apakah nasib pesaing lain seperti Mazda CX-5, Nissan X-Trail, Mitsubishi Outlander dan Honda CR-V?

Masih terlalu awal untuk membuat analisa namun jika mahukan alternatif, ketiga-tiga jenama ini sebenarnya mempunyai model alternatif iaitu SUV bersaiz besar dengan tujuh tempat duduk.

Suatu yang menarik apabila Kia dan Hyundai masing-masing sudah lama menawarkan SUV besar iaitu Sorento dan Santa Fe. Mazda juga mempunyai CX-8, cuma harganya berada dalam kategori premium.

Bagaimana dengan Honda? Di Amerika Syarikat Honda mempunyai famili SUV yang lengkap iaitu HR-V, CR-V, Passport dan Pilot.

Daripada empat model tersebut, Honda Pilot lebih dekat dengan negara kita apabila ia dipasarkan di Korea Selatan dan Filipina. Cuma persamaan di antara ketiga-tiga negara tersebut ialah ia mempunyai konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

Pada 13 Disember tahun lalu, Honda baru sahaja melancarkan Pilot di Korea Selatan. Walaupun tampak mewah, SUV ini dibina untuk pemanduan harian dan juga gaya hidup luar, secocok dengan pasaran Amerika Syarikat.

SUV bersaiz besar ini dibina supaya selamat dan selesa untuk seisi keluarga. Pilot menerima sambutan hangat di Amerika Utara dengan jualan lebih daripada 100,000 unit setahun.

Sama seperti model premium lain, Pilot dilengkapi pelbagai teknologi pemanduan dan keselamatan canggih  Honda Sensing®. Ia dilengkapi Lane Keeping Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Brake System (CMBS), Road Departure Mitigation System (RDM), Blind Spot Information System (BSI), dan Cross Traffic Monitor (CTM).

Turut dilengkapi ialah Blind Spot Information (BSI) System dan Cross Traffic Monitor (CTM).

Selain itu, Pilot juga dipilih sebagai Top Safety Pick+ (TSP+) 2018 oleh Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) Amerika Syarikat.

Cuma satu perkara yang dikira membantutkan penawaran Pilot di sini ialah saiz enjinnya. SUV ini digerakkan oleh enjin V6 3.5L i-VTEC berkuasa 284 hp dan tork 355 Nm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi canggih sembilan kelajuan automatik.

Di Korea Selatan, Honda Pilot ditawarkan melalui dua varian iaitu lapan penumpang standard dan tujuh penumpang Pilot Elite.

Harga Honda Pilot standard ialah 54,900,000 Won (RM203,088) manakala Pilot Elite pula 59,500,000 Won (RM 220,140). Nilai tersebut sebenarnya berpatutan jika diambil kira harga Kia Sorento dan Hyundai Santa Fe atau Toyota Harrier dengan saiz sedikit kecil.

Bergerak ke hadapan rasanya elok jika Honda lebih agresif menawarkan Pilot di serata dunia terutama sekali di pasaran seperti negara kita di mana Proton sudah mempunyai kumpulan Geely di belakangnya.

Khabarnya Proton X70 akan ditawarkan ke negara jiran pula selepas ini yang merupakan di antara kubu kuat Honda.

BACA: HONDA PASSPORT 2019 – DULU ISUZU RODEO SEKARANG BARU ORIHONDA

BACA: HONDA CR-V INI DIBINA UNTUK PERLUMBAAN, SATU DALAM DUNIA!

Share this post

scroll to top