WULING SEDIA MENCABAR TOYOTA INNOVA PULA
Wuling yang telah bertapak di Indonesia melalui pengenalan model Confero S yang bersaing dalam kategori MPV murah, kini telah bersedia untuk bersaing dalam kelas MPV yang lebih besar dan bersedia mencabar pesaing seperti Toyota Innova. Perancangan ke arah itu kini sedang giat diusahakan.
BACA : JENAMA WULING KINI DI PASARAN INDONESIA
BACA : PESAING HONDA BR-V – MPV KOMPAK MITSUBISHI (EXPANDER) DIDEDAH DI INDO
Walaupun baharu sahaja bertapak di Indonesia, namun penerimaan pengguna terhadap model Confero S boleh tahan juga sebenarnya. Berjaya mencuri sedikit kek pasaran bagi kategori MPV murah yang dikuasai oleh Toyota Avanza. Untuk bulan September, Wuling berjaya menjual 2,212 unit menurut data yang dikeluarkan oleh Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (GAIKINDO).
Dan bermula suku pertama 2018, Wuling bersedia untuk bersaing dalam segmen MPV yang lebih besar sekaligus mencabar MPV Nasional Indonesia, Toyota Innova. Model yang dijangka dipertaruhkan adalah daripada model Baojun 730. Baojun 730 ini kalau nak diikutkan, mempunyai dimensi dan saiz yang hampir sama dengan Toyota Innova.
Panjang keseluruhan 730 ini adalah 4,685 mm manakala Innova pula 4,735 mm. Lebarnya pula membawa ke 1,785 mm berbanding 1,830 mm untuk Innova. Dan ketinggiannya pula hampir sama, 1,745 mm manakala Innova 1,795 mm. Memang hampir dan boleh saing sangat dah.
Jikalau Innova ini mempunyai kapasiti enjin 2.0 dan 2.4, 730 ini mempunyai pilihan enjin 1.5 dan juga 1.8 liter yang menggunakan pacuan roda hadapan. Sepatutnya, enjin yang bersesaran 1.8 liter yang menjadi pilihan untuk dipadankan dengan MPV yang bersaiz rumah kedai ini. Tapi mengenangkan pasaran Indonesia ini lain macam sikit, tidak mustahil juga enjin 1.5 pula yang disumbat. Yang penting, harga kena murah. Tekan pedal minyak sambil berdiri pun bukan satu isu besar.
Dari segi spesifikasi, 730 ini boleh tahan mewah juga. Menggunakan kerusi kapten di barisan kedua. Skrin sesentuh pemain utama bersaiz 8 inci pula seakan benda wajib bagi kereta di zaman moden ini. Kawalan pemanduan turut terdapat pada model 730 ini bagi memudahkan perjalanan di lebuhraya selain daripada rak bumbung yang merupakan ciri yang amat digemari oleh penduduk Indonesia terutamanya ketika ingin mudik beraya ke kampung.
Lebih menarik lagi, bumbung suria yang tersedia pasti memberikan bonus buat 730 ini berbanding Innova. Malam hari keluar pusing kota sambil melihat bintang-bintang di langit menghiasi angkasa. Tinggi di atas sana. Seperti mutiara.
Bab harga tidak pula dimaklumkan. Yang pasti, sebagai sebuah jenama China, harga yang murah sudah tentu menjadi kewajipan jika ingin bersaing dengan jenama handal Jepun. Kalau Confera S itu boleh tahan laku, 730 atau pun Cortez nama yang dipertimbangkan untuk pasaran Indonesia ini pasti tidak mempunyai masalah menambat hati bakal pembeli di Tanah Jawa.