BuletinMotosikal

YAMAHA LANCAR FREE GO DI INDONESIA – HARGA TIDAK JAUH BEZA EGO MALAYSIA

Komuniti peminat motosikal sedang sibuk di negara kita sempena perlumbaan MotoGP yang bakal berlangsung hujung minggu ini. Kebiasaannya pengeluar motosikal mempamerkan model eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atau mengadakan pelancaran memandangkan jagoan mereka berada di sini.

Namun fokus kepada MotoGP tidak menghalang Yamaha daripada melancarkan skuter baharu Free Go di Indonesia. Skuter ini dikuasakan oleh enjin BLUE CORE 125 cc.

Free Go yang mengingatkan kepada Yamaha Ego di negara kita dibangunkan berdasarkan konsep skuter kompak untuk keselesaan keluarga.

Skuter ini membawa keseimbangan di antara gayaan elegan dan praktikaliti memandangkan Yamaha mensasarkan pelanggan yang berkeluarga.

Berikut ialah ciri-ciri utama Yamaha Free Go:

  1. Enjin BLUE CORE 125 cc yang ringan dan kurang gegaran untuk tunggangan selesa
  2. Dilengkapi Smart Motor Generator yang mengabungkan fungsi penghidup dan penjana kuasa bagi menghidupkan skuter dengan lebih senyap dan mengurangkan kehilangan kuasa janaan
  3. Pelana dengan saiz selesa berukuran 720 mm panjang
  4. Corong pengisian minyak di depan supaya penunggang tidak perlu bersusah payah mengangkat pelana
  5. Ruang simpanan luas dengan saiz 25 liter
  6. Meter LCD yang dah jadi standard untuk kebanyakan skuter hari ini
  7. Varian I Version dilengkapi Sistem Henti & Hidup dan Sistem Kunci Pintar
  8. Varian A dilengkapi brek ABS

Pasaran motosikal di Indonesia sememangnya besar dengan jualan sekitar 5.8 juta unit setahun. Pasaran skuter sahaja mempunyai saiz pasaran sekitar 4.8 juta unit.

Di sana, segmen motosikal dibahagikan kepada tiga julat harga iaitu asas, standard dan premium. Yamaha Free Go ini disasarkan kepada pelanggan yang mahu menaik taraf daripada segmen asas.

Yamaha Free Go dipasang oleh PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM) dengan sasaran jualan sebanyak 100,000 unit setahun.

Free Go ditawarkan pada harga IDR 18,500.000 (LTK 125) / RM 5,112, IDR 19,700.000 (LTK 125-I) / RM 5,446 dan IDR 22,500.00 (LTK 125-A) / RM 6,218.

Harga ini agak berpatutan dan tidak lari jauh daripada Yamaha Ego Solariz/Avantiz di negara kita.

BACA: AKHIRNYA…YAMAHA YZF-R25 FACELIFT DILANCARKAN DI INDONESIA

BACA: HLYM PERKENAL YAMAHA MT-07 BAHARU

Google ads
Back to top button