BuletinMotosikal

YAMAHA Y15ZR V2 SAH AKAN DILANCAR TAHUN HADAPAN!

Kami baru terima maklumat dari sumber yang boleh dipercayai bahawa Hong Leong Yamaha Malaysia akan memperkenalkan Yamaha Y15ZR versi facelift atau akan dikenali sebagai V2 pada tahun hadapan.

Menurut sumber tersebut, model yang telah diperkenalkan di Vietnam pada Ogos lalu ini telahpun tiba di Hong Leong Malaysia untuk diuji supaya mendapat kelulusan VTA  (Vehicle Type Approval) daripada pihak berwajib.

Seperti yang kita ketahui, Y15ZR telah dilancarkan pertama kali pada 2015 dan sepanjang pengeluarannya, ia tidak menerima banyak pengubahsuaian yang besar melainkan skema warna.

Ketika pesaingnya semakin maju, Yamaha telah melancarkan versi kemaskini di Vietnam. Ia dijangka tiba di Indonesia pada penghujung tahun ini dan ke pasaran Thailand pada awal tahun hadapan.

Y15ZR V2 ini datang dengan beberapa perubahan besar. Berikut adalah senarai tingkattaraf yang dibuat pada model tersebut;

1. LAMPU HADAPAN LED

Ia rekaan yang baru sepenuhnya. “Kepala” Exciter 2019 ini telah direka baru bagi menampatkan lampu yang lebih tipis dengan tiga kolum berbeza. Ia juga sudah dilengkapi dengan mentol lampu LED menggantikan mentol halogen. Selain lebih terang, LED juga menjimatkan tenaga.

Lampu isyarat membelok juga sudah datang dengan LED yang merupakan peneraju dalam kelasnya.

2. METER DENGAN SKRIN LCD

Perubahan besar yang kedua ialah paparan meter yang didatangkan dengan LCD sepenuhnya. Ia juga hadir dengan latarbelakang biru seperti Yamaha NVX, tetapi dengan saiz lebih kecil.

BACA: Y15ZR vs RS150R vs BENELLI vs SYM

Paparan informasi meter ini cukup lengkap seperti kelajuan, jarak perjalanan, penggunaan bahanapi dan tolok bahanapi.

3. “KUNCI PANGGILAN” (ANSWER LOCK KEY)

Maaf. kami tak berapa jelas untuk menterjemahkannya dalam Bahasa Melayu. Ini adalah fungsi yang membolehkan motosikal dikesan seperti sistem penggera. Khasnya ketika motosikal diparkir di kawasan motosikal yang banyak.

4- LAMPU “PASS LIGHT”

Sama seperti kebanyakan motosikal berkuasa tinggi, ia adalah suis lampu tinggi dengan pembalik untuk memudahkan penunggang memberi amaran kepada pemandu di hadapan.

Ia berguna untuk memberi perhatian kepada pemandu di hadapan atau trafik dari arah bertentangan.

5. SUIS PEMATI (KILL SWITCH)

Ini juga adalah fungsi yang biasa didapati pada motosikal berkuasa tinggi. Dalam segmen ini, Exciter 2019 bakal menjadi yang pertama menggunakannya.

Ia berfungsi sebagai suis pemati utama tanpa perlu memutarkan kunci.

6. TAYAR HADAPAN LEBIH BESAR

Umum mengetahui bahawa saiz tayar hadapan Y15ZR adalah yang paling kecil dalam kelasnya. Model 2019 akan menggunakan tayar bersaiz 90/80-17 bagi menggantikan saiz semasa 70/90-17.

Walau bagaimanapun, saiz roda belakang masih sama dengan 120/70-17.

BACA: 5 PERUBAHAN DIMENSI EXCITER 2019

Dijangkakan juga akan berlaku seikit peningkatan harga berbanding model semasa.

GALERI

Google ads
Back to top button