Buletin

YUUMI DILANTIK SEBAGAI DUTA ISUZU MALAYSIA 

Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (IMSB) hari ini mengumumkan bahawa ia telah melantik penghibur dan model berbakat besar, Yuumi sebagai duta jenamanya. 

Dilahirkan di Jepun, Yuumi dan ibu bapanya berpindah ke Malaysia ketika dia berusia lima tahun. Yuumi kini boleh bertutur dalam beberapa bahasa seperti Jepun, Inggeris, Melayu dan Cina.

Wanita ini memulakan kerjaya sebagai seorang model pada tahun 2015. Kerjayanya kian berkembang ke kaca televisyen apabila terlibat dalam beberapa program TV. Dia pernah muncul dalam program TV bertajuk “Jenaka Kampung Kalut”, rancangan komedi 13 episod yang disiarkan di TV3.

Yuumi juga mengambil bahagian dalam program “Nasi Lemak Kopi O” terbitan TV9 dan rancangan popular TV3, “Melodi”.

Bermula Ogos depan, Yuumi akan tampil dalam program “The Captivating Travel of Malaysia”. Berperanan untuk mempromosikan Malaysia, program itu akan disiarkan di beberapa saluran TV di Jepun seperti CATV, SkyPerfecTV dan IPTV.

“Karisma dan personaliti Yuumi memang sesuai dengan jenama Isuzu. Saya yakin kolaborasi kami akan memberi manfaat kepada semua pihak,” kata Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Hajime Machimura.

Sebagai duta, Yuumi akan muncul dalam semua kempen multimedia Isuzu Malaysia seperti digital, siri jelajah dan media sosial. Yuumi juga bakal beraksi sebagai gadis gelanggang dalam perlawanan World Boxing Council (WBC) Asia dan Orient and Pacific Boxing Federation (OPBF) di Mid Valley Exhibition Center pada 9 Julai ini.

Isuzu Malaysia ialah penaja utama pertandingan tersebut.

Google ads
Back to top button