ADAKAH PRESTASI KERETA AKAN MENJADI LEBIH BAIK JIKA PENAPIS UDARA DITUKAR?

SHARE

Ini merupakan soalan biasa bagi individu yang baharu sahaja memiliki kereta ataupun dalam bahasa pasarnya, baru nak main kereta. betul ke dengan menukar air filter ataupun penapis udara akan membuatkan kereta kita lebih power? Adakah ia semudah itu? Apa kesan kepada kereta selepas menggunakannya? Kita cuba tengok satu persatu.

Penapis udara aftermarket sudah berada di pasaran selama berpuluh tahun lamanya, dan ia sememangnya menjadi pilihan untuk meningkatkan lagi prestasi enjin kereta anda tetapi dalam jumlah yang agak minima (ye lah, takkan tukar penapis udara je bertambah lagi 80 bhp kuasa kereta engkau).

Bagaimanapun harus diingat, kesan yang dirasai selepas penukarannya sekarang berbanding 10 tahun dahulu adalah berbeza. Ini kerana sistem kemasukan udara kereta sepuluh tahun dahulu termasuklah penapis udara OEM tidaklah secekap buatan zaman sekarang walaupun takdelah kuno sangat. Penapis udara asal sememangnya membenarkan udara lalu dengan volum yang lebih rendah berbanding versi aftermarket. Penapis udara aftermarket biasanya direka agar membenarkan lebih banyak udara mengalir menerusinya sebelum disalurkan ke dalam enjin.

BACA: PENAPIS UDARA DAN PENAPIS PELINCIR – DUA BENDA PENTING YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

Kini penapis udara tidak kira OEM ataupun aftermarket dihasilkan dengan lebih baik, malah liku-liku saluran laluan udara ke enjin juga dihasilkan dengan lebih baik selain penggunaan material yang lebih bermutu. Tetapi ruang penambahbaikan sentiasa ada. Pengeluar penapis udara aftermarket yang ternama biasanya menggunakan material yang lebih baik untuk menghasilkan elemen penapis udara dengan kos yang lebih tinggi. Malah kadang kala ia didatangkan dalam set yang lengkap dengan piping sekali.

Satu lagi kebaikan penapis udara aftermarket ialah ia boleh digunakan berulang kali berbanding versi OEM (pakaibuang). Kita boleh membersihkan dengan pembersih khas, keringkan dan ia boleh digunakan berkali-kali. Selain menjimatkan ia juga lebih mesra alam sekitar kerana anda mengamalkan sistem kitar semula dengan penapis udara jenis ini.

Disebabkan rekaannya yang lebih terbuka, kita boleh perasan dengan peningkatan prestasi jika menggunakan penspis udara aftermarket dan pada masa tertentu, tahap kegunaan bahanapi yang lebih baik.

Satu je masalahnya, ramai pemilik yang terlebih teruja dan suka mendengar bunyi yang dihasilkan oleh penapis udara ini terutamanya pada peringkat awal ia dipasang. Apa lagi, mereka mula menekan minyak sesuka hati kerana ingin mendengar bunyi yang dihasilkan penapis udara baru tersebut. Lepas tu akan timbul komplen “Sejak tukar penapis udara ni, kereta aku semakin kuat makan minyak”. Kalau anda seorang pomen masalah ini boleh diatasi dengan satu ketukan kecil di atas kepala pelanggan macam ni dengan spanar saiz 10 (gurau je, jangan buat betul-betul pulak)

Kalau penapis udara aftermarket begitu baik kenapa ia tidak dipasang secara OEM diperingkat pengeluaran? Satu daripada sebabnya ialah kos. Penapis udara aftermarket biasanya berharga tiga ke empat kali ganda lebih mahal berbanding penapis udara OEM. Jika pengeluar mengeluarkan 1 juta unit kenderaan dengan tambahan kos RM150 untuk satu unit penapis udara berprestasi tinggi, berapa kos tambahan yang diperlukan? Tak ke RM150 juta, banyak tu der. Sudah tentu lebihan caj akan dikenakan kepada pembeli kan?

Penapis OEM juga telah diuji dan menepati kehendak sesebuah enjin dengan kos yang munasabah. Jika anda mahu memerah kuasa yang lebih anggaplah ia satu pelaburan untuk kereta anda.

Penapis udara biasanya dianggap sebagai peralatan pakai buang dan tidak dilindungi waranti. Jadi logiknya, anda dibenarkan jika ingin menukarnya kepada jenis lain tapi untuk kepastian baik dipastikan terlebih dahulu dengan pengeluar. Sama seperti proses modifikasi lain, periksa dahulu agar tidak menjejaskan waranti yang diberikan pengeluar tapi kalau sudah melepasi tempoh waranti, tepuk poket tanya selera.

Share this post

scroll to top