Modifikasi

ANDA SUKA TRAK PIKAP? INI MITSUBISHI TRITON “MONKEY DRAGSTER”

Baru-baru ini kecoh sekejap bilamana sebuah portal online, membuat kenyataan yang salah tentang senario modifikasi trak pikap di negara ini. Tak cukup Thailand katanya. Apa lagi, berbakul-bakul geng-geng trak seantero Malaya mengutarakan hujah dan ceramah.

Kepada yang kurang maklum, pengaruh modifikasi trak ala Thailand sebenarnya telah lama berkembang di sini. Dari kaedah biasa-biasa, modifikasi yang berlaku kini mencapai status quo yang setanding dengan rakan-rakan di Thailand. Jangan kata lowered dan laju, yang tukar jadi petrol pun banyak.

BACA: MODIFIKASI TRITON EZ ROCKETZ

Ini antara contoh terbaik, bukti kewujudan trak ala Thailand di sini. Ia dibuat dengan sangat teliti, setaraf atau mungkin lebih baik dari yang pernah disaksikan dalam majalah modifikasi trak di sana.

Sejujurnya, saya suka letakkan trak milik Afiq ini sebagai benchmark terbaik yang boleh diikuti. Sekurang-kurangnya buat mereka yang gemar kepada gaya dan bukan kelajuan semata-mata…

Tarikan utama mestilah pada sudut luaran, hasil penggunaan warna hijau gula-gula candy. Bukan sticker tau, tapi dicat sepenuhnya oleh mereka yang cerewet. Setiap satu bahagian diorang buka, sampaikan pintu ngan bucket belakang tu pun dicabut sekali.

Pintunya dibiar hitam dengan pekekat Monkey Diesel Shop yang agak garang. Sementara bucket belakang dibiar kosong tanpa tailgate dan bed liner. Yang ada cuma galang-galang besi Iron Bar Titanium, grill depan Triton Lite, hood karbon fiber Monza, skid plet kustom, serta cermin sisi Craft Square. Kalau dan cantik begini, jangan pulak kau mintak masuk site. Nak angkut beras sekampit pun pikir banyak kali sebab takut calar-balar…

Sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras dari ZerOne. Walaupun mahal dan boleh diejes-ejes, ia masih tidak mampu direndahkan pada kadar yang diinginkan.

Sebagai penyelesaian, kedudukan asal leaf spring belakang perlu dialihkan ke bawah axle. Bagi menghalang geseran ketika stereng dipusing, bonggol yang menahan lengan bawah pada sistem suspensi depan perlu dibuang sepenuhnya.

Selari dengan set-up ini adalah rim yang Afiq gunakan. Ada dua set berbeza, selepas sengaja ditukar ganti dengan rakan sekutu. Nak nampak lain katanya.

Rim jenis billet bersaiz 18-inci dari Weld Racing ini, telah digandingkan dengan tayar Nitto N555 berukuran 275/40R-18 setiap satu. Di sebalik roda depan pula, tersemat set brek 6-pot dari DD Performance untuk bantuan hentian.

Memulakan hayatnya sebagai Triton VGT, beberapa perubahan telah dilakukan pada enjin ini supaya lebih laju. Bahagian dalaman belum diusik, kecuali penempatan gasket keluli pada kepala silinder. Nak kasi lagi berseri, keseluruhan komponen yang boleh dicabut dihantar untuk proses semburan krom kaler-kaler.

Kemasukan udara datang dari penapis udara open pod K&N, terus ke mulut turbo IHI RHF4 (F44) yang dipertingkatkan. Disertakan juga sebuah intercooler dan lingkaran paip custom, sebelum dihalakan ke manifold kemasukan. Tiada throttle body digunakan, bagi menggalakkan kemasukan boost secara optimum.

Bekalan bahan api diperkuatkan dengan pam diesel berprestasi tinggi, sebelum ditembak menggunakan set nozzle GTX V2. Disebabkan unit SCV asal tidak cukup kuat, ia perlu digandingkan dengan modul Ecu-Shop SCV Control.

Bagi mengatur semula perjalanan enjin, ia kini ditala menggunakan unit piggyback Ecu-Shop Diesel Monster Max. Tidak ketinggalan, penggunan unit Ecu-Shop Boost Speed Mark II untuk meningkatkan lagi respon pedal.

Bahagian dalam menerima perubahan yang agak minimum. Tiada benda pun yang boleh buat, kecuali menukar kerusi leper asal dengan set tempat duduk Recaro EVO VI yang lebih memeluk di bahagian depan.

Mengelak clock spring airbagnya melantun tak tentu pasal, ia kini digantikan dengan stereng dari Momo. Paparan elektronik datang dari unit Ecu Shop Monster Gauge, meter boost Auto Meter, serta deretan 6-bijik meter Defi C2.

Afiq dah lama menyepi dari sukan drag, lepas bosan mengesan NOS tak jumpa-jumpa. Dalam perlumbaan drag yang pernah disertainya sebelum ini, catatan terbaik yang pernah dilakukan adalah, 8.6 saat (201 meter) dan 11.4 saat (301 meter). Ada juga timing. Kau punya ada?

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button