Beetle lumba RWB

SHARE

Jika ditanya kereta apakah model yang patut dijadikan ikon dunia pemotoran, jawapan saya sudah semestinya Volkswagen Beetle. Kereta rakyat yang merupakan ilham Adolf Hitler dan direalisasikan oleh lagenda pemotoran Jerman, Dr. Ferdinand Porsche adalah bukti bahawa kejuruteraan yang ringkas mampu muncul sebagai satu hasil rekacipta ikonik di seluruh dunia.

Walaupun ia hasil daripada idea seorang diktator gila, namun kita harus berterima kasih kepada Hitler kerana telah melahirkan Volkswagen Beetle ke dunia. Bayangkan kereta yang dicipta sebelum perang dunia kedua itu terus dihasilkan sehingga ke awal abad ke-21 di Mexico sebelum produksinya ditutup buat selama-lamanya!

Volkswagen Beetle mempunyai pengikut yang cukup ramai di Malaysia dan acara Bug Fest menjadi medan pertemuan peminat-peminat Beetle dalam negara. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa model itu jugalah yang menjadi pemangkin kepada industri modifikasi tempatan.
Buktinya, sekitar tahun 1980-an ramai pemilik Beetle yang berjaya mengubahsuai kereta mereka menjadi sebuah Porsche. Malah Beetle yang jadi Rolls-Royce pun ada!

Memandangkan rekabentuk kereta itu dihasilkan oleh orang yang sama mereka bentuk kereta Porsche 911, tidak hairanlah kedua-dua kereta tersebut mempunyai bentuk yang hampir sama. Kedudukan enjin di belakang juga dikongsi bersama, termasuklah penggunaan enjin jenis boxer sejukan udara yang cukup unik dan tidak pernah digunakan pada kereta lain.

Rauh Welt Begriff

Jadi, andainya anda seorang peminat Porsche 911 tetapi hanya mempunyai sebuah Beetle, jangan risau, itulah kereta yang cukup sesuai dijadikan bahan projek. Kami amat bertuah berjumpa dengan Ojan, iaitu pemilik Beetle yang cukup unik ini. Projek Beetle itu bukanlah bertujuan mengubah 100 peratus bentuk Beetle kepada sebuah Porsche, tetapi untuk menjadi model pertama yang mengikut gaya modifikasi Rauh Welt Begriff.

Saya faham, ramai yang tidak kenal apa itu Rauh Welt Begriff atau RWB. RWB ialah sebuah syarikat talaan kereta Porsche 911 yang berpengkalan di Jepun. Jadi, merupakan syarikat talaan JDM (Japan Domestic Market) untuk kereta buatan Jerman. Kereta-kereta rekaan mereka adalah bagi tujuan perlumbaan. Antara trademark rekaan mereka ialah kit badan jenis lebar.

Sebelum memulakan projek, Ojan telah berhubung dengan wakil syarikat RWB bagi mengetengahkan ideanya dan meminta kebenaran untuk menggunakan nama RWB bagi rekaannya. Apa yang mengejutkan, wakil syarikat RWB amat menggemari ideanya dan memberikan Ojan kebenaran untuk menggunakan nama RWB untuk Beetlenya (kira macam iklan percumalah bagi RWB).

Jadi apa yang telah Ojan lakukan ke atas Beetle miliknya? Kereta itu dari segi modifikasi sebenarnya agak ringkas. Tetapi hasil kerjanya cukup teliti dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Beetle tersebut adalah keluaran tahun 1970-an yang mempunyai rekabentuk lampu depan dan belakang yang sedikit berbeza dari model tahun 1960-an.

Badan dan kerangka kereta ditanggalkan sepenuhnya, sebelum dipulih semula bagi menggantikan mana-mana komponen yang telah berkarat. Enjin asalnya hanyalah enjin 1,100cc (enjin paling kecil) dan Ojan telah menggantikannya dengan enjin 1,600cc.

Enjin boxer itu tidak banyak diubahsuai, cuma sebuah takal (pulley) utama boleh laras dan perangkap pelincir Cusco dipasang. Sistem ekzos enjin turut dirombak semula dengan sistem ekzos custom yang merangkumi bahagian ekstraktor, paip dan peredam bunyi.

Sistem gantungan Beetle itu pula menggunakan penyerap hentak custom buatan Titan yang memberikannya tahap kerendahan yang diperlukan. Pada masa yang sama menawarkan pengendalian lebih baik. Brek gelendong pada roda hadapan ditukar dengan brek cakera bagi memberikan sedikit kelebihan ketika membrek. Rim aloi 16 inci dengan tayar BF Goodrich menjadi pilihan Ojan bagi memberikan Beetle gaya retro moden yang dikehendakinya.

Inspirasi daripada RWB nampak jelas pada pemilihan kit badan dan warnanya. Seperti yang saya katakan sebelum ni, Beetle itu tidak cuba menjadi sebuah Porsche, tetapi ingin menjadi sebuah Beetle yang RWB boleh berbangga dengannya.

Ojan telah menambah spoiler lips di bahagian hadapan yang diinspirasikan dari rekaan RWB. Spoiler itu dipadankan dengan rekaan spoiler jenis “duck tail” pada bonet belakang yang sememangnya mengikut identiti rekaan RWB untuk kereta Porsche.

Memandangkan RWB menghasilkan kereta untuk tujuan perlumbaan, Ojan mengambil idea tersebut dengan memasang klip bonet ala perlumbaan dan lampu hadapan menggunakan tint berwarna kuning. Warna pilihan Ojan ialah hitam atau matte black yang menyempurnakan lagi gaya sebuah kereta rekaan RWB.

Bahagian dalaman Beetle itu adalah bahagian yang paling menarik. Sebabnya, Ojan telah melakukan sendiri kerja-kerja fabrikasi papan pemuka yang mengambil rekabentuk papan pemuka sebuah Porsche 911. Dengan menggunakan gentian kaca dan fabrik, dia merombak semula bahagian papan pemuka asal Beetle dan menghasilkan satu kerja seni yang menarik.

Meter-meter asal kereta tidak lagi digunakan. Sebaliknya  diganti dengan meter-meter Auto Gauge dan JASMA yang berinspirasikan kepada perlumbaan. Stereng asalnya diganti dengan stereng Elevo Racing jenis deep dish, manakala pedal-pedal asal Beetle ini ditambah dengan pedal OMP.

Selari dengan imej kereta lumba, tempat duduk asal Beetle diganti dengan tempat duduk bucket bersama tali keledar perlumbaan dari Takata. Tidak ada pendingin hawa atau sistem audio di dalam kereta itu, malah tempat duduk belakang pun sudah dibuang! Cuma yang kurang hanyalah roll cage yang akan melengkapkan gaya sebuah kereta trek sebenar.

Kereta itu mungkin tidak akan meluncur seperti peluru atau boleh mengambil selekoh macam kereta Japan GT. Namun begitu, ia penuh dengan karekter dan mampu menarik perhatian orang tanpa perlu memasang audio kuat-kuat atau pakai rim berkilat-kilat bersaiz 20 inci.

Habis

Spesifikasi

Pembuat / Model: Volkswagen Beetle “Super Beetle”

Modifikasi Enjin: 1,600cc boxer sejukan udara, pulley utama boleh laras, perangkap pelincir Cusco

Kotak Gear: Standard 4 kelajuan manual

Sistem Ekzos: Custom sepenuhnya

Sistem Gantungan: Custom buatan Titan

Sistem brek: Brek cakera VW di hadapan, standard gelendong di belakang

Rim / Tayar: Rim aloi 16” / BF Goodrich dengan custom white lettering

Luaran: Lips depan custom, spoiler belakang custom gaya RBW, cat matte black

Dalaman: Papan pemuka rekaan custom, meter Auto Meter & JASMA, tempat duduk bucket dengan tali keledar Takata

Gallery
[hr_invisible]

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top