Modifikasi

BLUCY RACY – INI KISAH SEBUAH TOYOTA MYVI

Memang banyak model lain. Tapi dalam barisan keluarga Perodua, armada Myvi disifatkan sebagai kereta yang paling popular dan berjaya. Walaupun jualannya dah cecah sejuta unit, permintaan yang diterima tetap menggalakkan, biarpun cuba dicabar pengeluar jenama lain.

Resepi kejayaannya terletak pada platform binaan yang mampu menawarkan sebuah kereta yang sangat luas lagi praktikal. Perkongsian teknologi dengan model keluaran Daihatsu dan Toyota juga membantu menambah keyakinan ramai. Bukan saja kepada pemilik kebanyakan, tapi juga kepada penggiat modifikasi JDM seperti Mat.

BACA: KELISA GINO,. MAKIN PUPUS?

Kereta ini adalah contoh tipikal, bagaimana sebuah Myvi boleh dianjak ke fasa yang lebih menarik. Bukan kata takde cara lain. Yang bikin sampai nampak boleh terbang pun banyak. Cuma salinan kepada model JDM seperti ini, masih mendapat tempat dan menjadi ikutan sejak dulu lagi.

Untuk luaran, terdapat beberapa pilihan kit badan yang boleh digunakan. Namun kit dari model Passo Racy ini, tetap menjadi taruhan utama. Mujur sekarang dah murah cikit. Kalau dulu punya rega, boleh gugur jantung dibuatnya.

Sebagai penyeri, beberapa komponen yang digunakan, datang dengan kemasan karbon fiber seperti vent dan panel tengah pada bumper depan, cermin sisi, serta lid pada boot belakang. Yang tersembul keluar pada hood depan tu adalah skup udara Boon X4, yang akan membantu proses sejukan di bahagian enjin.

Sektor pengendalian disumbangkan oleh set suspensi Mines. Kekuatan sudut hentian pulak dibantu komponen brek milik Daihatsu YRV untuk depan. Keserian ruang roda kemudian, diisi set rim Volk Racing TE37 berukuran 15-inci berserta tayar Bridgestone Potenza dari saiz 195/55R-15.

Enjin asal yang acah laju, kini dilajukan lagi dengan penempatan enjin K3VET dari Daihatsu YRV. Ni pun pilihan popular jugak. Buat masa ini, tak banyak yang boleh disembang kecuali penggunaan penapis udara Blitz, serta injap pelepas HKS SSQV. Akhir sekali, binaan semula sistem ekzos menggunakan paip kustom 2-inci dengan muffler kontot Lucky Star di hujungnya.

Di bahagian dalam, perubahan yang dibuat melibatkan salinan komponen asal dengan perkakasan milik Passo 07. Bermula dengan papan pemuka, panel pintu serta set pilar sebagai rencah utama. Memandangkan enjin barunya datang dengan tuas jenis kolum, bahagian tempat duduknya kini digantikan dengan kerusi jenis bench yang lebih luas.

BACA: INILAH JELMAAN PASSO RACY

Kemudian ada stereng Momo tiptronik, trim dashboard karbon fiber, juga cermin belakang Tiffana. Bersama komponen ini adalah sistem audio Pioneer dan Carrozzeria, terdiri daripada pemain utama, rangkaian speaker, tweeter, juga woofer di ruang boot.

Salinan JDM seperti ini, nampaknya masih menjadi sandaran kepada penggiat modifikasi Myvi. Yang lama mungkin dah cuci tangan. Namun kesinambungan trend ubahsuai ini, masih diteruskan generasi baru dengan cara yang sama…

-pak maun-

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button