BUKAN BIASA-BIASA. INI EVO III DENGAN BODYKIT CRUISE POWER

SHARE

Ingat lagi tak yang Takumi Fujiwara sebenarnya pernah kalah dengan Kyoichi Sudo, taiko Team Emperor yang memandu sebuah Lancer EVO III?.

Masa tu kereta Hachiroku Takumi masih lagi pakai enjin 4A-GE Bluetop. Sebaik Kyoichi berjaya potong waktu selekoh, Takumi cuba mengejar di laluan lurus menyebabkan enjin tersebut barai meletup.

Memang pishang ler jawabnya. Nasib baik pakcik Bunta kekal steady dengan rokok di bibir…

BACA: PROTON PREVE DENGAN ENJIN EVO

Itu cerita wayang. Boleh jadi betul, boleh jadi fiksyen. Memang tak ada kena mengena pun. Sekadar teringat sebaik melihat Lancer milik Melan, yang sama gelap macam kereta Kyoichi tuh.

Bukan main belanja lagi, jenuh nak tunjuk satu-satu. Memandangkan ia cukup diminati penggiat modifikasi Wira / EVO, elok sangat jika kita tinjau apa benda yang menarik pada model idaman seantero Malaya nih.

Melan membeli kereta ini dari seorang kawan, yang tak cukup masa nak belainya sebaik mungkin. Kesian pula bila tengok angkut-angkut, labah-labah, jentik-jentik, berpesta riang membuat sarang di sana-sini. Lepas dikecek dan dinego, ia segera bertukar tangan sebelum dipertingkatkan semula seperti yang sepatutnya.

Salinan EVO III bukan lagi pilihan memandangkan ia sedang popular oleh model tempatan yang seangkatan dengannya. Bagi maksud itu, kit aero rekaan Cruise Power telah digunakan untuk membentuk rupa lebih sado.

Ia meliputi beberapa komponen penting seperti bumper depan, fender, arch roda, skirt sisi dan skirt belakang. Kemudian ada sunroof dan cermin wiper belakang EVO III, lampu belakang EVO III USDM, cermin sisi Ganador, serta sebuah spoiler GT mengikut konsep kereta Cruise Power sebenar.

Di bahagian hood tersergam komponen jenis karbon kelvar, yang telah diperhalusi semula dengan lapisan coating serba baru. Patut hawau merecik!

Kecemerlangan sistem gantungan dicantikkan lagi dengan set suspensi boleh laras dari HWL. Proses hentian pula, dibantu komponen brek EVO III untuk depan dan belakang.

Pelengkap kepada sektor ini adalah set tayar Bridgetone Potenza RE003 berukuran 215/45R-17, yang dibalut pada rim popular Volk Racing TE37.

 Ruang dalaman juga nampak belanja sakan. Bermula dengan salinan komponen asas EVO III untuk dashboard dan panel pintu, ia kemudian melarat kepada aksesori buruan yang lain macam stereng Momo Speed, burger dashboard, rak majalah ARP Sport, armrest “telur”, perehat kaki, juga aksesori RalliArt untuk tombol gear, pedal minyak dan karpet.

Aspek pemantauan dibantu meter Defi enam beradik serta unit RSM dan SAFC2 dari Apexi. Tidak ketinggalan, penggunaan tempat duduk Recaro TME yang premium, termasuk tambahan tempat duduk Recaro untuk kanak-kanak. Ni jangan tak bagi anak duduk sudahlah…

 

Apa guna ada geran 3-berlian kalau masih berpuas hati dengan enjin standard. Alang-alang nak bikin, sebijik enjin 4G63T dari EVO III menjadi pilihan terbaik untuk kereta ini.

Sebelum boleh disumbat masuk, beberapa tingkat taraf telah Melan lakukan bagi menjamin kuasanya untuk tempoh masa yang panjang. Antaranya, penggunaan piston Wiseco 86mm, conrod Manley, galas enjin King Bearing, serta penempatan camshaft HKS 264° di bahagian kepala silinder.

Sistem pendesak pasti tidak terlepas dari menerima peningkatan yang setara. Tersergam di belakang radiator adalah manifold turbo Tonnka yang memegang kemas siput Garrett T04E.

Boleh tahan jugak besarnya. Sebuah wastegate Tial 38mm kemudiannya dipasang untuk mengawal tekanan pada perumah turbo. Bagi menyejukkan boost yang terhasil, ia dialirkan ke unit intercooler HKS menerusi binaan paip sambungan kustom.

Sebaik diterima masuk oleh throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dibawa keluar melalui injap pelepas GReddy Type R.

Sistem bahan api belum dipertingkatkan secara total, kecuali penggunaan pam petrol Walbro 255 dan sebuah regulator Sard. Begitu juga dengan sistem kawalan enjin yang hanya diperhalusi dengan unit Apexi SAFC2.

Setakat tekan sekali sekala, rasanya tak ada masalah. Tapi kalau diajak main drag keliling kampung, mau tembus kepala piston dibuatnya.

Keseluruhan sistem pacuan AWD EVO III telah dibawa naik dengan sedikit pengubahsuaian di bahagian lantai belakang. Dah benda boleh bikin, rugilah dibiar bergelimpangan di tepi tiang. Memastikan kuasa pacuan ini tidak bersepah ketika gear ditukar, bahagian kotak gear kini dilapik dengan set klac dari Ogura Racing.

Diberitakan tidak kurang dari 20 buah Lancer EVO sedang menetap di bumi Ganu. Banyak sangat dah tu, kira meriah jugaklah kalau buat group wasep. Asal ada yang bukak mulut nak jual, mesti geng-geng ni yang sapa dulu. Jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh model ini.

-PAK MAUN-

GALERI

 

Share this post

scroll to top