Modifikasi

DAIHATSU GINO CLASSIC AUTOCOAT

Benda yang paling peminat K-Car hendak dalam hidup Ini ialah ada sebuah body Daihatsu dua pintu yang asli.

Benda ini berlaku sejak dulu ketika body dua pintu L2 bertukar tangan pada harga setinggi RM70,000. Kereta STANDARD. Itu harga yang saya tahu. Ada juga saya  dengar model modifikasi penuh JDM bertukar milik pada harga lima angka. Gila kan?

Tak cukup gila lagi, sebab benda-benda asli ni memang orang akan buru sampai ke lubang cacing. Benda ori memang akan jadi buruan dan rebutan. Apatah lagi apabila produksi tamat dan mendapatkan jenis yang sama adalah perkara mustahil.

Kereta Daihatsu L700 ini tak laju langsung kalau anda nilaikan harganya dengan kuasa kuda. Body tahun 1998 ini dibeli Jeffry beberapa tahun lalu pada harga istimewa. Kepada purist non-K-Car, ini adalah model Kelisa versi Jepun dua pintu.

Kalau di Jepun, kereta Yakult ni tak ada sapa peduli pun. Tapi bila tiba di Malaysia, ia jadi rebutan. Kalau ada geran, siaplah jangan berani tanya-tanya harga kalau anda  bukan dari golongan bangsawan.

Benda pertama yang mesti dipulihkan ialah enjinnya semakin lemau. Bersatu dalam hud depan ialah enjin EJ turbo 660 dari Jepun 5 kelajuan manual. 64 ps sahaja, tak laju langsung.

Enjin dalam bay kereta ni lebih kepada nilai estetik. Celupan krom pada segenap aksesori diserikan dengan warna water transfer biru lembut di bahagian lain. Pendek kata kalau tiba-tiba kereta breakdown tengah jalan, buka hud depan boleh senyum tengok enjin berkilat.

Lagi satu kalau enjin macam ni, bila basuh atau servis kena hati-hati sebab ada pomen, carwash yang pakai chemical stok cuci lombong habis tanggal kromnya.

Jeffry yang dah puas hati di bahagian enjin kini menumpukan ke bahagian kosmetik pula. Seperti yang biasanya saya tulis sebelum ini, main K-Car adalah tentang keunikan bodykit. Uniknya bodykit itu dinilai terhadap aspek JDM nya.

Tak macam Evo, Subaru yang ada banyak kit aftermarket, JDM K-car adalah berdasarkan kit asal yang paling laju aksesorinya dari D-Sport, Cross dan beberapa pembuat bodykit yang tak popular mana. Macamana nak popular kalau kereta tu setakat market kat Jepun sahaja.

Jeffry memilih untuk padankan badan depan L800S. Ia mencakupi segenap bahagian yang telah merubah rupa depan daripada moden kepada klasik. Tak macam L700 Gino yang mengambil inspirasi kereta MINI, L800 Classic nampak lebih independent.

Ia adalah kesinambungan daripada model L5 Classic dan ia kurang Classic berbanding Gino. Tapi kalau rare, ya, memang nampak sangat pelik oleh pihak berkuasa yang saya pasti akan menahan pada bila-bila masa yang mereka suka.

Kit badan ini digandingkan dengan spoiler belakang Cuore TR. Akhir sekali warna merah brilliant membalut badan kereta. Memang ini warna khusus untuk kriteria klasik. Sama taraf macam British Racing Green. Kalau kereta ni pasang bumbung kanvas saya rasa lagi terbaik.

Jeffry menggunakan rim OEM Daihatsu Max 15 inci dengan tayar Falken 165/50r15.  Bila ulang pandang, memang rim ni padan dengan kereta. Nak laraskan kedudukan kereta, suspensi asal digantikan dengan adjustable daripada GAB. Brek, macam biasa, standard. Tukar brek pad sudah.

Bahagian dalaman tipikal kalau anda biasa tengok purist K-Car kumpul barang Jepun. Segala mak nenek aksesorinya yang ada tema kayu atau karbon akan dikutip, dipulih dan dipasang. Set yang ada trimming kayu ni harga kadang-kadang tak masuk akal.

Tetapi kini dengan adanya teknologi water transfer, kemasan dalaman kereta macam ini nampak lebih kemas dan baru. Macam yang boleh dilihat dalam kabin Gino ni. Kemas betul.

Apa yang boleh dikatakan tentang ubahsuai K-Car? Ia tak akan mati sampai bila-bila. Anda tengok sajalah bisnes workshop yang hanya fokus pada kereta kecik ni. Workshop yang buat model-model khusus macam Daihatsu atau Proton saya tengok dah tak meriah macam dulu. Sebaliknya, K-Car pula makin maju.

Haih! Kalau ada Kenari American Metal 2 harga adik-beradik nak je saya guna balik!

GALERI

Google ads
Back to top button