DAIHATSU MIRA VAN – SHIKAKU STYLE

SHARE

Pada tahun 1986, Daihatsu telah memperkenalkan versi Walk-Through Van dalam keluarga Mira generasi kedua. Ia sebuah kereta dengan panel badan khas, khusus untuk tujuan komersial dan mobiliti.

Kerana penampilannya yang unik serta struktur percukaian kei-kar yang agak istimewa, ia berjaya menarik perhatian khususnya di kalangan peniaga kecil di negara Jepang.

BACA: TMJ PUN BAWAK KANCIL..HMMMM…

Konsep rekaannya cukup mudah tapi praktikal. Ia membolehkan kita bergerak dari ruang depan ke belakang, tanpa perlu keluar dari kereta. Struktur binaannya yang tinggi itu juga antara ciri penting, untuk membolehkan kita berdiri dan melakukan kerja dengan selesa. Tu pasal bentuk luarnya tak simetri langsung!

 

Sejarah kewujudan kereta ini di Tanah Melayu pula, masih samar-samar dan kurang meyakinkan. Ada kata dibawa masuk Perodua sebagai model konsep, untuk tujuan kajian dan pameran.

Satu lagi versi cerita, ia dibawa masuk sebagai komponen gantian oleh tokey half-cut. Sebab tu ada beberapa buah yang berjaya dikesan. Belum lagi kira yang dibawa masuk oleh pengimport menggunakan AP klasik secara sah.

BACA: SEBUAH KANCIL DAN KEGILAAN K-CAR

Kuasa viral telah menemukan kita dengan kereta ini. Gambar sebelum dan selepas proses restorasinya, berjaya menarik perhatian netizen dalam tempoh yang singkat. Tapi gambar sata, cerita pun tak ada. Dengan niat untuk didokumentasikan, saya mula pasang kaki untuk mengesan spesis istimewa ini.

Kereta ini ditemui seorang rakan, yang melihatnya tersadai dalam kondisi agak menyedihkan. Bukan takat lumut dan karat, siap ada kesan kita bakar lagi. Ikut gaya macam tak ada harapan langsung. Tapi lepas dicadangkan kepada Iedol, ia telah ditarik ke Shikaku Garage untuk proses restorasi sepenuhnya.

Yang jadi masalah, ketiadaan komponen ganti yang sesuai. Kalau pesan sebijik dari half-cut, dah tentu lain ceritanya. Walaupun dengan sumber yang terhad, ia tetap berjaya dibina semula, hasil penggunaan komponen yang hampir sepadan.

Keseluruhan bahagian depan telah digantikan dengan komponen dari Mira L500 Classic. Siap ada kelopak mata lagi. Begitu juga dengan bumper belakangnya. Kedudukan lampu belakang yang dulunya terletak pada bumper, telah dialihkan ke sisi panel badan.

Kerja-kerja kustom lain termasuklah binaan arch roda, rak pada bumbung, serta tangga di bahagian sisi.

BACA: KANCIL ERA. TAK RAMAI TAHU KEUJUDANNYA

Kereta ini tidak memiliki pintu di bahagian pemandu, tapi dibekalkan dengan pintu jenis lipat yang praktikal di ruang kiri dan belakang.

Taklah tersadung orang bila berhenti di ruang sempit. Akibat kebakaran yang berlaku, sebahagian komponen pada pintu ini gagal diselamatkan dan perlu digantikan dengan komponen yang sesuai. Cermin pakai plastik perspex, getah pakai aftermarket, kunci pulak rembat yang rumah punya. Boleh gitu?

Perasan tak ada satu lubang pada dahi kereta nih? Itu memang asal dan ia bertindak sebagai lubang pengudaraan semasa musim sejuk. Satu lagi komponen yang masih dikekalkan adalah cermin sisi yang mana bentuknya memang besar sebelah.

Untuk rupa lebih sado, keseluruhan ruang roda diisi rim krom Steelies sebelum diregangkan dengan tayar Silverstone dari saiz 175/50R-15. Sebagai penutup kepada proses restorasi luaran, ia telah dilayangkan dengan kaler mak kau ijau, yang turut mengandungi bintik-bintik glitter. Baru nampak mahal!

Bahagian dalam turut menerima perubahan secara total. Sebab lama terperam dalam kebun, hampir keseluruhan permukaan lantainya telah pun bobos terbolos. Mujur rangka asal masih lagi elok, dan ia telah dibina semula dengan kepingan logam. Untuk tujuan kemasan, ia kemudian dilapik lapisan kayu palet termasuk pada dindingnya.

BACA: SUMPAHAN KANCIL L2 PARCO

Kereta ini hanya memiliki sebuah tempat duduk di bahagian pemandu serta tempat duduk lipat sebagai tambahan. Yang ni pun jahanam dan digantikan dengan kerusi bas. Begitu juga papan pemuka, stereng dan konsul gear yang kini menggunakan komponen dari Mira L200. Sesuai dengan tugasnya sebagai kereta berhias, keseluruhan ruang ini sengaja dibiar kosong tanpa sebarang periuk, kuali dan perkakasan dapur lain.

Sebagai pelengkap kepada proses naik tarafnya, enjin carburetor asal telah digantikan dengan siri EF-JL dari Mira L200. Baru ada power!

Disebabkan ia tidak dibina untuk tujuan prestasi, tiada peningkatan dilakukan dan ia masih mengharapkan keupayaan kotak gear jenis automatik. Perasan tak besi bulat kat tepi badan tu? Itulah ekzosnya dan sengaja dibina macam skirt sisi.

Di zaman trak makanan menjadi sesuatu yang menarik untuk diusahakan, penggunaan Mira Walk-Through Van seperti ini mungkin pilihan yang paling bijak. Selain lebih praktikal dan menjimatkan, ia turut memiliki faktor penarik yang boleh memukau pelanggan. Walaupun kau masak lagi hampeh dari van Vanette sebelah, orang masih lagi minat nak tengok apa kau jual…

Spesifikasi

Pemilik                        Shikaku Garage

Pengeluar                    Daihatsu

Model                          Mira L70V Walk-Through Van

Tahun                          1989

Enjin asal                    EB 550cc

Modifikasi Enjin         EF-JL 660cc Mira L200

Transmisi                    Automatik

Ekzos                          Kustom

Luaran                         Kit badan depan & bumper belakang Mira L500 Classic, lampu belakang, arch roda, rak bumbung & tangga sisi kustom

Suspensi                      Mira L200

Brek                            Mira L200

Rim & Tayar               Steelies krom 15-inci & Silverstone 175/50R-15

Dalaman                      Papan pemuka, stereng & konsul gear Mira L200, tempat duduk bas, lantai & dinding kayu palet

Bengkel                       Shikaku Garage, Sungai Buloh

-PAK MAUN-

GALERI

Share this post

scroll to top