HONDA CIVIC MAYAT. B16A VTEC YANG TAK DIKENALI GENERASI WECHAT

SHARE

Memasuki penghujung tahun 80-an, Honda telah memperkenalkan Civic generasi ke-4 sebagai jawapan kepada model saingan yang wujud ketika itu. Dia punya varian punyalah banyak, termasuk penambahbaikkan di sana-sini. Selain rekabentuk yang lebih senonoh dan ringan, ia juga dibekalkan dengan sistem suspensi baru, termasuk pengenalan enjin VTEC B16A untuk varian tertinggi.

Percaturan baru ini telah melonjak nama Civic sebagai jentera yang disegani. Power ada, minyak pun jimat. Kalau masuk acara balapan, kedudukan atas mesti dia punya. “Poning jugak kepalo lutut den dibueknyo”, kata Nakamura-San yang kemudiannya menghasilkan teknologi MIVEC untuk Mitsubishi selepas itu.

Isuzu Dmax Desktop

Din antara mereka yang masih menyimpan Civic ini sebagai jentera mainannya. Seperti kengkawan yang lain, ia ibarat ubat paling mujarab untuk melepaskan diri dari penyakit anti sosial. Cer jual kalau tak caya. Memang kerja lipat kain jelah di hujung minggu.

Rupa asal yang terlalu asas, telah diremajakan semula menerusi kerja tingkat taraf yang sesuai. Untuk bahagian luaran, ia telah dipadankan dengan kit badan model tertinggi Civic EF9 SiR. Depan belakang ada lampu fog. Campur spoiler atas, spoiler tengah ngan cermin cromax, maka lengkaplah penampilannya buat masa ini.

BACA: HONDA CIVIC EK TURBO

Kelebihan kereta ini terletak pada konfigurasi sistem suspensi, yang turut digunakan oleh model Civic lain selepas itu. Adaptasi suspensi double-wishbone dan multilink bebas ini, telah menukar karektornya sebagai sebuah kereta pacuan depan yang lincah. Bagi memantapkan lagi sektor ini, kedudukan kereta telah direndahkan pada kadar yang sesuai menerusi set suspensi boleh laras Tein HA.

Bahagian roda datang dengan rim SSR Type C berukuran 15-inci, beserta tayar lekit Yokohama Advan Nouva AD08 dari saiz 195/55R-15. Sementara kuasa hentian pulak, disalin sepenuhnya menggunakan komponen dari Civic EF9.

Ruang dalaman diisi komponen lengkap milik Civic EF9. Ada dashboard, stereng, tempat duduk, karpet, macam-macam lagilah. Cuma panel pintu ajer dipinjam dari EF8. Beberapa akesori lain turut diguna sama seperti pelapik dashboard, perehat tangan, lampu map, meter Integra DC2, serta sistem audio dari Gathers.   

Memandangkan usia enjin asal yang semakin purba, Din cuba mendapatkan alternatif yang lebih sesuai. Pilihan memang banyak, cuma modal jer kurang ramai. Sebagai alternatif, sebuah enjin VTEC B16A telah dipilih memandangkan kemampuannya yang mudah untuk dinaik taraf.

Atas faktor reliabiliti, hanya unit piston yang ditukar menggunakan set piston bersaiz 83mm. Lain-lain perubahan tertumpu di bahagian kepala silinder seperti penempatan camshaft serta injap dari enjin B16B. Malah sistem kemasukan udara dan petrol juga diambil dari model yang sama.

Din juga menitikberatkan aspek penampilan untuk enjin ini. Nah, hijau pucuk pishang diseletnya, termasuk menyusun kembali komponen yang ada. Item-item lain yang turut membantu adalah penapis udara K&N, kabel pencucuh Ultra, serta radiator aloi D&D. Perjalanan enjin kemudian diselia kotak ECU P27, dengan cip pom-pom-pom Naptune. Sementara kotak gear Y1 yang digunakan, dilapik set klac dari Triniti.

Di tangan Din, nasib kereta tentunya jauh lebih terbela berbanding sahabatnya yang terpaksa menghabiskan sisa hidup mereka sebagai jentera belasahan trek…

-PAK MAUN-

Spesifikasi

  • Pemilik Syarafuddin Othman
  • Pengeluar Honda
  • Model Civic SH3
  • Tahun 1990
  • Enjin asal ZC 1.6L
  • Modifikasi Enjin B16A, piston 83mm, camshaft, injap, throttle body, manifold
  • kemasukan, injektor, rel & pam bahan api B16B, penapis udara K&N, kabel pencucuh Ultra, radiator aloi D&D, ECU P27 Naptune
  • Transmisi Kotak gear Y1, klac Triniti
  • Ekzos Paip ekzos kustom, muffler Tanabe G Medalion
  • Luaran Kit badan Civic EF9 SiR
  • Suspensi Tein HA
  • Brek Civic EF9
  • Rim & Tayar SSR Type C 15-inci & Yokohama Advan Nouva AD08
  • 195/55R-15
  • Dalaman Komponen lengkap Civic EF9, panel pintu EF8, pelapik
  • dashboard, perehat tangan, lampu map, meter Integra DC2, sistem
  • audio Gathers
  • Bengkel M Garage, Nilai Negeri Sembilan

GALERI

 

Share this post

scroll to top