HONDA CIVIC TURBO – TUNED BY OWNER

SHARE

Penamatan siri perlumbaan Sepang Drag Battle sebenarnya memberi kesan langsung kepada perkembangan sukan drag tempatan. Suka atau tidak, itulah realiti yang berlaku sekarang. Ramai dah bungkus jentera masing-masing dalam selimut. Yang jual cerai pun ada. Belum lagi kira yang pencen terus.

Punca masalah bukan sebab penganjur yang ada sekarang tak bagus. Tapi ketiadaan venue setanding Sepang untuk membolehkan jentera kuasa tinggi beraksi.

Kalau main kategori on the road mungkin tak ada masalah. Yang jadi masalah jenis power terlajak, sampai nak berhenti pun kena pijak sambil berdiri. Dah jadi begitu, bikin sampai 1000 kekuda pun tak guna. Memang setakat tu jelah mainannya.

Civic EG6 bewarna hijau ini, dimiliki oleh Myrol dari Tuned By Owner. Unik sungguh namanya. Suatu ketika dulu, ia pernah beraksi dalam kategori Class B di Sepang Drag Battle. Bila tak ada peluang nak lari 400 meter, keupayaan jentera ini telah dikurangkan bagi membenarkannya beraksi dalam siri perlumbaan yang lebih kecil.

BACA: HONDA CIVIC EK TURBO DRAG ROCKET!

Asasnya menggunakan enjin B16B dengan set-up turbo gantung. Seperti dijangka, keseluruhan isi perutnya telah dinaik taraf dengan komponen yang sesuai. Antaranya, penempatan piston Wiseco 85mm, conrod Eagle, termasuk galas enjin ACL Race.

Bahagian kepala silinder pula menggunakan komponen B18C GSR, yang kemudiannya diolah dengan camshaft Skunk2 Tuner 3, berserta set injap berprestasi dari Ferrea.

BACA: HONDA CIVIC EG SUPER FAST!

Tonggak utama terletak pada sistem pendesak yang dimainkan oleh turbo Garrett GTX40.

Ia duduk mendongak pada sebuah manifold kustom, yang turut mengandungi sepasang wastegate Tial 44mm. Mampatan boost yang terhasil disejukkan oleh intercooler GReddy dengan paip sambungan kustom, sebelum dibawa ke mulut throttle body Works Engineering yang melekat pada manifold kemasukan Skunk2. Sementara tekanan berlebihan, akan dipaksa keluar menerusi injap pelepas Tial.

Untuk sistem penyampaian bahan api, bekalan petrol dibawa masuk menggunakan pam Walbro 450. Ia disalurkan kepada rel bahan api Skunk2 yang memegang set injektor Bosch 1300cc.

Memastikan kadar tekanan dan balikan yang yang tepat, ia kini dilaras menggunakan unit regulator Aeromotive. Hasil campuran yang terbentuk pada kebuk pembakaran seterusnya diletuskan oleh koil K20A, sebelum ditala menggunakan unit EMS Haltech Sport 1000 untuk capaian kuasa yang optimum.

Melihat bahagian luaran, hampir kesemua komponen asal masih berada di tempatnya. Memang kerangka on the road, siap ada roadtax lagi. Myrol hanya menukar bumper depan jenis C West kustom, termasuk penggunaan komponen karbon fiber untuk fender, hood, spoiler dan cermin sisi.

BACA: CIVIC EK TURBO

Sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras dari HWL. Sementara kuasa hentian, masih mengharapkan keupayaan komponen asal.

Mengisi ruang roda adalah SSR Type C dengan tayar Bridgestone Potenza untuk depan serta rim skinny Well Racing pada tayar Falken Ziex untuk belakang. Namun sewaktu ingin dilumbakan, roda depan ini akan digantikan rim Black Racing beserta tayar belon Mickey Thompson dari saiz 24.0/8.0-15.

Seperti luar, ruang dalam juga mengekalkan kesemua komponen yang ada. Dashboard, panel pintu, tempat duduk, masih lagi ada di tempatnya. Yang lain cuba tempat duduk Recaro SPG untuk pemandu, stereng Sparco, meter Defi dan Innovate, serta set roll cage Cusco. Radio? Bertuah sangat kalau ada!

Ketika beraksi di Sepang Drag Battle 2015, jentera ini pernah memenangi tempat kedua keseluruhan untuk kategori Class B. Tapi sekarang keputusan terbaik yang mampu diperolehi, masih berlegar dalam lingkungan Best 8 sahaja.

Biasalah dah tukar set-up. Badan joki pun makin berat. Harap ia mampu menunjukkan taringnya tak lama lagi…

Spesifikasi

Pemilik                        Myrol

Pengeluar                    Honda

Model                          Civic EG6

Tahun                          1992

Enjin asal                    B16A,  Modifikasi Enjin B16B, piston Wiseco 85mm, conrod Eagle, galas enjin ACL Race, kepala silinder B18C GSR, camshaft Skunk2 Tuner 3, set injap Ferrea, cam pulley AEM, cagak enjin Hasport, turbo Garrett GTX40, manifold kustom, wastegate Tial 44mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, throttle body Works Engineering, manifold kemasukan Skunk2, injap pelepas Tial, pengawal boost GReddy Profec B, pam Walbro 450, rel bahan api Skunk2, injektor Bosch 1300cc, regulator Aeromotive, koil K20A, EMS Haltech Sport 1000

Transmisi                    Kotak gear manual, ratio gear kustom, klac DTR triple plate

Ekzos                          Kustom

Luaran                         Bumper depan C West kustom, fender, hood, spoiler & cermin sisi karbon fiber

Suspensi                      HWL

Brek                            Standard

Rim & Tayar               SSR Type C 16-inci & Bridgestone Potenza 205/50R-16 (depan), Well Racing 15-inci & Falken Ziex 195/55R-15 (belakang), Black Racing 15-inci & Mickey Thompson 24.0 x 8.0-15 (drag)

Dalaman                       Tempat duduk Recaro SPG, stereng Sparco, meter Defi & Innovate, roll cage Cusco

Bengkel                       Tuned By Owner, Dinn BWork, Fugazi Racing, Revtec Motor Lubricant, Turbo Dot Com, Lan Temulak

-PAK MAUN-

GALERI

Share this post

scroll to top