MODIFIKASI HONDA NSX – LAGENDA UNICORN DARI JEPUN

SHARE

Hakikatnya, Honda NSX tetap sebuah kereta yang rare walaupun di negara asalnya Jepun. Mengikut catatan google, sebanyak 18 ribu unit pernah dihasilkan dengan separuh darinya dieksport ke negara Uncle Sam. Nampak macam banyak. Tapi jika saiz pasaran dunia diambil kira, jumlah tersebut memang agak kecil dari yang sepatutnya.

Di Malaysia jangan cerita lah. Suatu ketika dulu, NSX umpama kuda bertanduk dalam cerita dongeng, yang hampir mustahil untuk dijejaki. Memang bertuah kalau jumpa kat mana-mana, apa lagi yang dah siap bikin macam ni. Tapi bila dapat pelepasan cukai, masing-masing mula menunjuk diri, walaupun dengan harga permulaan melebihi suku juta!

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Pemilik NSX ni bukanlah orang baru dalam dunia modifikasi. Kepada yang mengenali Ashraff, beliau pernah memiliki pelbagai model berprestasi yang pastinya tidak lagi standard.

Adat suka merasa, dah puas pakai jual. Tapi model holy trinity 90’an seperti R34 GTR, Supra MK IV dan NSX NA1, masih disimpan rapi oleh beliau. Dulu takat poster di dinding bilik. Bila ada rezeki lebih, angan-angan itu cuba direalisasikan dalam dunia realiti sebenar.

Honda NSX generasi pertama dibekalkan dengan enjin V6 3000cc berkuasa VTEC, yang mampu menghasilkan tenaga sekitar 270bhp. Ikut standard sekarang, taklah power mana. Tapi bila letak pada casis aluminium seringan NSX, ia sudah memadai untuk menggeletek naluri kelajuan.

Enjin C30A ini diubah secara ringan, untuk membebaskan semula kuasanya. Paling jelas penggunaan sistem ekzos Taitec GT, lengkap dengan manifold, paip tengah dan peredam bunyi.

Memastikan penerimaan udara lebih efisyen, ia dibawa dari sistem cold air intake Billion terus ke kotak udara ARC. Malah unit ECU juga telah diprogram semula, mengikut spesifikasi talaan Spoon Sport.

Lain-lain aksesori yang dipadankan termasuklah tali sawat Toda Power, pulley Tracy Sport, cagak enjin RFY, kabel pembumi TM Works, penutup radiator Seeker, serta penutup pelincir edisi terhad Kanjo by No Good Racing.

Yang membuatkan kereta ini sangat istimewa ialah pilihan kit badan yang digunakan. Sebijik macam replika NSX-R GT Spoon Sports rekaan Ichishima-San yang dibinanya untuk meraikan kejayaan mereka menyertai sukan permotoran selama 20 tahun.

Bukan setakat tayang kat bilik pameran, tapi turut beraksi dalam perlumbaan Macau Road Sport Challenge pada tahun 2008. Podium pulak tuh!

Kepada yang maklum, NSX generasi pertama datang dengan lampu jenis pop-up yang memang cukup popular, khususnya pada kereta sukan era 90’an. Tapi sebab nak Spoon Sports punya pasal, ia telah ditanggalkan dan diganti dengan lampu jenis statik dari model NSX-R NA2. Perubahan profil ini juga memerlukan bingkai lampunya ditukar dengan kit khas dari Route Ks.

Keseluruhan komponen milik NSX-R NA2 seperti hood dan fender, juga perlu diguna sama. Ini diikuti penggunaan bumper depan dan belakang Spoon Sports NSX-R GT NA2 yang lebih agresif, skirt sisi Science of Speed, cermin sisi aero Spoon Sports, serta spoiler GT dari RFY.

Tambahan aksesori lain termasuklah skup bumbung Route Ks, cangkuk towing Science of Speed, penutup enjin GruppeM, serta lampu belakang NSX-R NA2.

Selepas berpuas hati dengan penampilan keretanya, Ashraff kemudian menaik taraf sistem gantungan bagi mendapatkan karektor pengendalian lebih baik. Memilih set penyerap hentak boleh laras Aragosta Type SS, ia ditala pada kedudukan yang agak rendah sesuai dengan gayanya sebagai replika jentera lumba.

Rim asal yang malu-malu kuda telah digantikan dengan Prodrive GC10 bersaiz 18-inci, sebelum dililit tayar berprestasi Achilles ATR Sport.

Menyelak ke ruang kokpit, NSX dihidangkan dengan ruang dalaman yang ringkas tapi mewah, bagi membolehkannya bersaing dengan pengeluar ternama seperti Ferrari dan Porsche.

Kerana itu tak banyak yang Ashraff usik pada bahagian ini, kecuali menggantikan unit stereng asal dengan stereng Momo Tuner, lengkap bersama butang hon titanium Type R serta kit quick release rekaan Works Bell.

Tidak dinafikan, NSX generasi pertama ini merupakan sebuah model penting yang menjadi lambang kebangkitan industri pembuatan kereta sukan di Jepun. Ia juga bertanggungjawab menyedarkan pengeluar ternama dari Eropah, dalam menghasilkan sebuah kereta berprestasi yang bukan saja lasak, tapi juga boleh diharap dan mudah dipandu. Walaupun menjangkau usia puluhan tahun, ia kekal sebagai satu-satunya unicorn dari Honda.

-PAK MAUN-

Spesifikasi

Pemilik                        Ashraff Kamal

Pengeluar                    Honda, NSX NA1, 1991

Enjin asal                    C30A

Modifikasi Enjin         Sistem cold air intake Billion, kotak udara ARC, talaan ECU, Spoon Sports, tali sawat Toda Power, pulley Tracy Sport, cagak enjin RFY, kabel pembumi TM Works, penutup radiator Seeker, penutup pelincir Kanjo by No Good Racing. sensor O2 RFY, termostat RFY

Transmisi                    Automatik

Ekzos                          Kit ekzos Taitec GT

Luaran                         Kit bingkai lampu NSX-R NA2 Route Ks, lampu depan NSX-R NA2, hood depan NSX-R NA2, fender NSX-R NA2, bumper depan & belakang Spoon Sports NSX-R GT NA2, skirt sisi Science of Speed, cermin sisi aero Spoon Sports, spoiler GT RFY, skup bumbung Route Ks, cangkuk towing Science of Speed, penutup enjin GruppeM, lampu belakang NSX-R NA2 Suspensi Aragosta Type SS

Brek                            Cakera brek Dixel, pad brek Juran, hos braided Swage-Line

Rim & Tayar               Prodrive GC10 18-inci & Achilles ATR Sport 215/35ZR-18 (depan), 235/40ZR-18 (belakang)

Dalaman                      Steering Momo Tuner, butang horn titanium Type R, quick release Works Bell, tombol gear Top Secret

GALERI

 

Share this post

scroll to top