Honda S2000 Anda mahu roadster moden?

SHARE

Honda S2000, kereta ini bolah dikatakan tidak popular langsung di Malaysia. Saya tak pasti kenapa taikun grey import tidak berminat sangat membawa masuk casis ini. Mungkin sebab harganya mahal di Jepun? Atau susah nak dapat? Atau mungkin susah dijual berbanding Integra DC5? Atau mungkin bilangan peminatnya terlalu kecil?

Jika anda berminat dengan sebuah roadster di hujung minggu dengan harga yang tidak membuatkan makanan tercekik dileher seperti Z4, Miata Baru, SLK CLK atau E92 coupe, maka ini adalah DNA pilihan paling hampir. Honda S2000 ini menawarkan sesuatu yang hampir mutlak pada karekteristik roadster. Banyak orang berpendapat roadster bukanlah sebuah kenderaan yang anda ingin pandu dalam cuaca tropika seperti Malaysia. Tapi jika wang bukan masalah dan anda sudah miliki sedan dan MPV, S2000 adalah calon yang boleh disenaraikan dalam garaj parking.

Kereta ini ibarat BMW Z4 untuk Jepun. Bila pertama kali diperkenalkan di Amerika pada awal 2000, ia pantas menjadi kereta sport buruan di sana. Harganya separuh dari rangkaian roadster Barat dan enjin F20C 2000cc itu bukan sahaja amat ekonomikal dalam istilah sebuah kereta sports, malah ianya cukup berkuasa dalam kategorinya.

Dari segi prestasi, kereta ini mampu menghasilkan 250pos dalam keadaan asal, untuk sebuah enjin 2.0 liter dalam terminologi automotif, kuasa ini sangat bagus untuk sebuah casis dengan 1300kg sahaja. Kuasa untuk berat per liternya adalah yang paling tinggi pernah dikeluarkan untuk kereta aspirasi biasa, malah di kalangan kereta Honda sendiri, S2000 tetap dianggap kejuruteraan ajaib. Pada output 123 kuasa kuda pada setiap liter, ia lebih tinggi dari lagenda B16B yang menghasilkan 115hp seliter. Lebih bagus lagi, kereta ini dipacu roda belakang dan satu-satunya kereta pacuan belakang Honda ialah NSX.

Keunikan kereta ini terletak pada rekabentuk 2 tempat duduk roadster yang dibina Honda untuk pasaran Amerika. Model pertama generasi AP1 ini datang dengan sistem transmisi manual enam kelajuan. Bumbungnya boleh dibuka dengan satu sentuhan kawalan elektrik. Walaupun kereta ini dilihat sebagai market niche dengan pacuan roda belakang, sebenarnya corak pemanduan kereta ini sama sahaja seperti kereta Honda yang lain. Posisi tempat duduk dan mobinliti keluar-masuknya lebih mudah daripada sebuah Lotus Elise.

Seperti biasa, membeli kereta ini perlukan pemeriksaan rapi. Memadangkan bilangannya tidak banyak, jadi anda tidak punya pilihan yang pelbagai. Jika melihatnya untuk dijual, bawalah sekali mekanik yang arif untuk memeriksa casis dan juga enjinnya. Jangan bimbang, jika setakat cairan minyak menitik di enjin yang tidak kritikal, ia adalah keadaan normal untuk enjin dengan binaan blok aluminium begini. Pastikan casisnya bagus dan bukan kereta yang kerap dipandu di litar. Alat-gantinya, walaupun tidak semudah Civic atau Stream, ia masih boleh ditempah di beberapa pengedar alat ganti Honda di Lembah Kelang.

Jadi berapakah harga kereta ini di pasaran terpakai?

Baiklah. Ia bukan tentang harga semata-mata, ia tentang kewujudannya. Entah apa sebabnya, pengimport kenderaan terpakai kurang memabwa masuk model ini. Jadi untuk melihatnya dijual di kedai terpakai seperti sebuah Estima adalah mustahil. Sama susahnya mencari NSX. Harga pasarannya boleh diperolehi sekitar RM130,000 hingga RM150,000 bergantung kepada keadaan dan modifikasi.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top