HOT ROD? RAT ROD? YA. AMERIKA? BUKAN. INI DARI JOHOR!

SHARE

Kalau anda pengikut setia dunia arena tempatan, mesti dah tau kebanyakan projek modifikasi yang dilakukan oleh orang Malaysia biasanya ialah untuk kegunaan pemanduan harian. Ada juga segelintir yang ada duit lebih gemar mengubahsuai kereta untuk kegunaan perlumbaan dan tak kurang jugak yang mengubahsuai untuk tujuan acara Auto Show.

Bagaimanapun ada sejumlah kecil golongan yang mengubahsuai kereta mereka untuk tujuan seni – dan golongan ini ialah kumpulan manusia yang sangat rare di negara kita.

BACA – PROTON SAGA V8. KAU MEMANG KEJAM…

BACA – RESTOMOD, TOYOTA CELICA TA22

Kereta yang diubahsuai semata-mata untuk seni bukanlah kali pertama kami temui. Waktu zaman Autoshow sedang memuncak (dan jika anda ikuti perkembangannya) pasti pernah membaca cerita tentang Perodua Kancil yang diubahsuai dengan 6 roda dengan bodykit yang super ekstrim? Kereta ni hanya digunakan untuk tujuan pertunjukkan dan tak boleh pun dipandu kat atas jalanraya awam.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-24

Projek kereta seperti ni agak biasa dilihat di negara maju seperti di USA, Australia dan jugak di Jepun, tetapi amat jarang dilakukan di Malaysia oleh kerana kos pelaburan yang tinggi dan kereta ni tak boleh digunaka secara sah di atas jalanraya, hatta nak pandu atas trek pun belum tentu dibenarkan.

Hanya mereka yang mempunyai minat yang mendalam dan bajet yang banyak mampu menjayakan projek gila begini.

Kereta yang kami paparkan ini bukanlah asing lagi bagi peminat kereta old skool dan hot rod tempatan. Pernah menyertai pelbagai acara Street Custom dan pernah memenangi anugerah seperti anugerah “Street Custom & Hot Rod’ pada acara Art of Speed Asia 2014 di Johor, kereta yang asalnya sebuah Nissan Bluebird 910 ini ialah antara ikon budaya Street Custom di Malaysia.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-21

Pemiliknya, Syawal Ezam dari negeri Harimau Selatan mendapat inspirasi mengubahsuai kereta ini daripada gaya Rat Rod Amerika Syarikat di mana gaya pengubahsuaian ini dilakukan pada bajet yang amat rendah dengan mengutip alat ganti daripada kereta lain dan kedai besi buruk untuk menghasilkan sebuah kereta.

Nissan Bluebird bukanlah kereta yang menjadi pilihan orang di AS untuk dijadikan kereta projek Hot Rod, tapi kita Malaysia kenalah carik gaya kita yang tersendirikan?

Nissan Bluebird 910 yang dijadikan bahan projek ni dikerjakan sepenuhnya oleh mekanik dan pakar body kereta di Student Driver BJ Republic yang bertanggungjawab atas ubahsuai mekanikal dan estetika kereta ni.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-3

Walaupun kereta ni takkan dipandu di atas jalanraya awam, tapi di dalam semua projek kereta Rat Rod, enjin ialah salah-satu modifikasi yang wajib dilakukan. Mungkin enjin V8 blok besar sebagaimana yang dipilih oleh orang AS tidak dapat dicari di sini, tapi enjin berkuasa tinggi buatan Jepun mudah didapati dan dah memadai.

Bluebird ni diganti enjin 1800cc asalnya dengan enjin RB20DET yang berasal daripada Nissan Skyline R32. Enjin 6 silinder sebaris dengan turbo intercooler mampu menghasilkan lebih kurang 210bhp dan ia mudah diselenggara dan diubahsuai oleh pakar automotif tempatan.

Enjin ni diubahsuai dengan menggunakan intercooler jenis front mount dari GReddy yang bersambung dengan turbo standard enjin ini dengan paip intercooler custom keluli tahan karat.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-12

Bunyi bising dan ganas ialah satu lagi trademark kereta Rat Rod sejati, kebanyakannya menggunakan paip saluran terus yang keluar satu persatu daripada liang ekzos enjin.

Memandangkan enjin yang dipilih mempunyai turbo, paip ekzos dipasang terus kepada liang ezkos turbo dan dihalakan tinggi ke atas, menembusi bonet depan bagi memberi bunyi (dan impak visual) yang mengejutkan ramai.

Kotak gear manual standard yang datang dengan enjin dikekalkan tanpa sebarang modfikasi dan disalurkan terus kepada gandar belakang standard Bluebird ini.

Keselamatan bukanlah satu perkara yang dititikberatkan untuk projek macam ni. Ye lah, bukan nak bawak atas jalan pun. Untuk memastikan kereta ni boleh berfungsi sebagai kereta yang boleh bergerak dengan kuasanya sendiri, brek asal Bluebird dikekalkan dan tayar Goodyear 195/60/15 menyaluti rim aloi 15 inci.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-30

Kereta direndahkan rapat ke tanah dengan cara paling murah dan mudah – bakar spring asal sampai lantai kereta rapat ke tanah. Kereta yang rendah ialah satu lagi syarat wajib sebuah kereta Rat Rod.

Kerja besi atau metal work pula satu kemahiran yang wajib ada pada mereka yang nak jadikan kereta mereka begini. Bumbung Bluebird ni dipotong sepenuhnya kecuali sebahagian tiang-A untuk menukar kereta ni dari sebuah sedan kepada sebuah kereta cabriolet kekal.

Tiang-A asal Bluebird ni dikerat separuh untuk merendahkan profil cermin depan yang kini menggunakan perspex depan buatan custom.

Badan kereta ni pun dilakukan proses “karat” semulajadi dengan mengikis cat asal dan membiarkannya terdedah kepada udara panas dan lembab Malaysia untuk mendapat hasil yang diingini.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-27

Badan kereta ni jugak dicat dengan tangan dengan efek meleleh yang sengaja dilakukan sebagai penghormatan kepada Rat Rodders yang kebanyakannya ialah pembina kereta amatur. Rim aloi dicat dengan warna merah dan tayar yang digunakan dihias dengan whitewall – satu lagi gaya Rat Rod yang cukup popular.

Di bahagian dalam, gaya yang digunakan ialah gaya Malaysia yang asli sebab Mat Salleh kat AS pun tak terpikir nak buat macam ni. Kesemua sudut dalaman disalut dengan checkered plate yang berkilauan.

Tidak ada tempat duduk berkusyen di dalam kereta ni, hanya bangku custom yang dibina dari bahan checkered plate (pakai tempat duduk kusyen pun tak guna sebab kalau hujan habis lencun sebab kereta langsung takda bumbung!).

Meter-meter tambahan dari Hansa dipasang pada papan pemuka custom kereta ni termasuk sebuah starter jenis push button dari Pivot menggantikan meter asal Bluebird ni.

hot-rod-rat-rod-bluebird-johor-2

Hanya yang berani dan berhati kental je yang mampu mengubahsuai kereta menjadi macam ni, dan sekali lagi orang Selatan menjadi perintis memperkenalkan trend baru di tanah air.

Kami pun terfikir sejenak, lepas ni sapa sapa nak main macam ni, alang-alang masuk enjin Nissan V8 pulak, bukan nak kena register pun…kan?

BACA – RETROMOD, BLUEBIRD U11

BACA – RESTORASI TRAK DATSUN B120

Share this post

scroll to top