Modifikasi

INILAH KISAH CINTA PANDANG PERTAMA, INI LAH DIA CINTA HATI SAYA…MY FAIR LADY…

Tanyalah sapa pun, kebanyakan kita tentu menjawab zaman kanak-kanaklah yang paling best dan menyeronokkan.

Fasa hidup tanpa masalah, menyebabkan kita mudah jatuh cinta dan kekal dalam alam fantasi sepanjang masa. Bila meningkat remaja, kecintaan kita mula berubah kepada sesuatu yang lebih dewasa.

Misalnya muzik dan juga pada jentera bernama kereta.

Tak cakap orang lain, saya zaman sekolah dulu pun sama juga. Pernah suatu ketika berangan nak pakai Volvo 760, kemudian Daihatsu Charade G11 Turbo. Tak dilupakan termasuklah Mazda Cosmo Coupe.

BACA: LAMPU DEPAN LAMBO SEBENARNYA DARI FAIRLADY

Tapi setakat berangan jelah yang mampu. Sampai dah bangka macam sekarang ni pun, masih tak dapat nak pakai lagi.

Berbeza dengan brader Muzafar Shah. Berkat kerja keras dan usahanya, beliau berjaya membeli sebuah Nissan Fairlady Z32 yang diidamkan, biarpun selepas lebih 20 tahun ia dikeluarkan.

Rekabentuknya yang masih lagi mengancam juga antara sebab mengapa Muzafar sanggup bersusah payah memulakan projek restorasi dan naiktaraf kereta impiannya ini.

Enjin VG30DETT asal macam tak kena dengan kehendak hatinya. Tanpa banyak soal, sebuah enjin Toyota 2JZ-GTE telah disumbat masuk ke dalam perut kereta ini. Mungkin dah terbiasa sangat, memandangkan Muzafar juga ada menyimpan sebijik Supra di garaj rumah. Itu belum cerita RX7 lamanya yang turut menggunakan enjin yang sama!

Kepada yang sedia maklum, enjin siri 2JZ sememangnya mudah diubahsuai. Setakat cuit sikit-sikit pun dah mampu mengejutkan mesin dyno.

Untuk enjin ini, ia telah diberi setup turbo tunggal jenis Garrett T04E pada sebuah manifold turbo kustom. Ia kemudian disejukkan oleh unit intercooler, juga paip sambungan rekaan kustom.

Sebuah injap pelepas dari Works Engineering turut dipasang bagi meredakan tekanan boost yang berlebihan.

Walaupun dah pakai turbo besar, sistem nyalaan dan penyampaian petrol masih lagi asal, kecuali tambahan unit regulator Works Engineering untuk mengawal tekanan pada rel bahan api.

Sistem pendawaian kemudian disorok sebaik mungkin, untuk memastikan ruang enjin ini jauh lebih kemas dan teratur berbanding asal.

Setelah berpuas hati dengan proses naik taraf enjin, Muzafar kemudian memastikan bentuk badan Z32 yang menjadi idaman beliau sejak kecik ini dibaikpulih sepenuhnya.

Walaupun kondisi yang diterima kurang menyerlah, setiap kemek dan karat telah dirawat sebelum dilayangkan dengan kaler kuning diraja.

Tiada kit badan merepek yang digunakan, memang saja nak tunjuk natural beauty. Satu-satunya modifikasi yang dilakukan adalah pada bonet depan yang telah ditebuk untuk menempatkan liang udara, bagi membantu proses sejukan.

Oh ya! Lupa nak bagitahu yang Z32 ni adalah model dengan bumbung jenis T-Top. Kalau bosan, boleh jugak buka berjemur macam udang kering.

Untuk bahagian pengendalian, Muzafar telah menaiktaraf sistem gantungan asal Fairlady ini dengan set penyerap hentak boleh laras daripada Tein. Sistem brek asal kereta dengan angkup 4 piston depan dan 2 piston belakang terus dikekalkan dah lebih dari mencukupi untuk menampung kuasa enjinnya.

Ruang arca roda yang besar telah diisi dengan kombinasi rim Riverside Trafficstar bersaiz 18 inci, berserta tayar Dunlop SP Sport dari dua saiz berbeza.

Tiba ke ruang dalam, kita akan disambut dengan lautan fabrik Alcantara yang bukan saja membaluti tempat duduk dan sterengnya, tapi juga keseluruhan papan pemuka, panel pintu, konsol tengah, panel bumbung dan pilar.

Paparan digital Defi Advance ZD dan meter boost Auto Gauge kemudian dipasang pada papan pemuka, bagi memastikan sistem enjinnya sentiasa dalam keadaan baik dan terkawal.

Bermula dengan angan-angan, Muzafar kini boleh tersenyum riang apabila impian waktu kecilnya berjaya direalisasikan…!

-PAK MAUN-

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”133″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button