Modifikasi

KISAH KANCIL YANG DISUMPAH JADI MIRA L2 PARCO

Bukan senang nak modifikasi satu jenis kereta supaya ia berbeza dengan yang biasa orang buat. Lebih-lebih lagi pada kereta bosan macam Kancil. 

Sebenarnya, agak lama saya tidak bercampur dengan budak-budak K-Car yang kebanyakannya sudah beralih ke kereta lebih besar. Namun harus diingat bahawa  komuniti K-Car tidak pernah mengecil.

Sampai sekarang, otai K-Car masih setia dengan kereta ini macam Chelan yang dikatakan telah main Kancil sejak dia masih bayi lagi. Walaupun dah ada kereta yang lapan kali lagi besar, minat pada Kancil memang tak boleh ditinggalkan.

Kancil ini bertemakan Parco, sejenis Mira yang darjatnya tidak tinggi langsung dahulu. Tetapi apabila orang sudah mula bosan dengan versi moden L5, alih-alih Parco jadi popular pula. Jadi, sebelum harga barang melompat tanpa disedari, Chelan dah beli dulu simpan siap-siap.

Kita bermula dengan bahagian enjin. Enjin kereta ini diambik dari half-cut yang agak kuno. Maksud saya, lagi lama daripada model Daihatsu Mira L200 EF-JL yang biasa kita jumpa. Half-cut kereta ini ialah Mira Liiza dengan kod enjin yang sangat kebetulan sekali, L11LAN. Seperti mana-mana kereta K-Car Jepun, kereta ini berenjin 660cc yang memang mengalami masalah kuasa yang kronik.

Di Malaysia, K-Car nak bubuh enjin 2,000cc pun tak apa. Jadi, Chelan memasukkan blok 850 Kancil tempatan untuk gantikan blok kecil tadi. Piston yang digunakan pula ialah daripada 1.3 YRV turbo dengan gasket keluli mencantumkan head yang siap diporting dan polish.

Cam pulley jenis boleh laras dan cam 280 degree dibuat oleh Ujang resing. Conrod pula jarang-jarang saya dengar boleh modifikasi AE111 Toyota dan dimasukkan ke dalam enjin tiga selinder. Memang hebat betul pomen Malaysia.

Turbo yang terkeluar itu adalah hasil perkahwinan IHI Subaru dengan TD04 GSR. Perumah belakangnya daripada GSR dan kipas depan jenama Subaru. Hasilnya, boost spike yang boleh datang tanpa diduga sama sekali. Kalau kena dengan talaannya, Kancil ni punya pikap macam RXZ tau! Apa yang penting, tune dan terus tune untuk dapatkan AFR dan timing terbaik.

Rim TE37 digunakan dengan bangganya pada kereta ini. Rim 15 ini dipakaikan dengan tayar Silverstone 165/50 di segenap sudut. Suspensinya daripada K-Car Sport dan breknya L2 depan belakang.  

Bahagian dalaman kereta ini penuh dengan berbagai aksesori. Saya rasa apa yang paling rare tentulah papan pemuka dan stereng Mira Liiza. Lain macam betul rupanya, nampak macam dashboard Aura GTTi. Tempat duduknya daripada Mira Parco.

Satu masa dahulu, kereta ini sangat suka beraksi di pentas perlumbaan yang sah. Apabila mendapat sambutan yang memberansangkan di litar Antarabangsa Sepang dan litar haram merata-rata, Chelan jadi lagi bersemangat hendak mencantikkan Kancil Liiza beliau. Padahal dulu buruk aje.

Maka, dia telah memasang bodypart Mira J Limited di segenap sudut. Spoiler belakang tu nampak lain sedikit sebab katanya datang daripada model Moderno Limited. Lampu belakang itu kalau perati betul-betul mentolnya bukan yang biasa ditemui, itu lampu LED. Saya syak, ada customizer Jepun yang rajin ganti bulb LED sebelum kereta ini dipotong dan lampunya tersadai di kedai Chelan.

Skirting tepi kereta diambil daripada model Mira L6. Akhirnya, bumbung kereta  dipakaikan dengan jenis sisik panoramik Mercedes A170. Nampak begitu anggun dan bergaya dan buatkan saya fikir semula:

“Wajarkah aku beli semula Kancil untuk yang ke-11 kali?”

[hr]GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button