Modifikasi

MAZDA 808 SEPARUH SIAP

Anda pernah dengar pasal Rat Rod? Jika anda peminat rancangan pemotoran di stesen TV berbayar, anda mesti pernah dengar istilah ini. Bagi sesetengah orang, istilah Rat Rod agak menyakitkan hati. Namun ada juga orang yang berbangga kalau kereta mereka diberi gelaran tersebut. Bagi sesiapa yang langsung tidak ada idea apa sebenarnya Rat Rod, mari saya cerita sikit. 

SONY DSC

Rat Rod adalah gelaran yang wujud sejak tahun 1950-an di Amerika Syarikat (AS) terhadap kereta-kereta Hot Rod yang tidak sempurna. Okay, bayangkan anda hidup pada era itu di AS. Anda seorang peminat kereta, tetapi duit di dalam poket menyatakan anda hanya layak menunggang basikal. Jadi, berbekalkan kereta Ford 1932 usang peninggalan datuk, anda mula mengubah suai kereta tersebut mengikut trend hot rod ketika itu.

Tanpa cat yang sempurna dan kerusi yang lusuh, tetapi menggunakan enjin V8 yang berkuasa tinggi. Dalam erti kata lain, jentera ini nampak macam kereta baru keluar half-cut berbanding kereta Hot Rod yang sempurna.

SONY DSC

Pada zaman sekarang, tema Rat Rod sudah jadi macam trend pula. Kereta yang elok-elok tak berkarat, dikaratkan. Pelik bin ajaib, tetapi inilah yang dinamakan trend. Namun, ada pula kereta di Malaysia yang sememangnya Rat Rod sejati. Bukan ikut trend. Bukan sengaja nak karat. Tapi hakikatnya setakat itulah kemampuan pemiliknya.

Mazda 808 ini saya tidak boleh nak kategorikan dalam kategori Rat Rod 100 peratus. Sebabnya, kereta ini masih bercat dengan sempurna, walaupun ada sikit-sikit tanda karat. Namun roh Rat Rod memang ada la.

SONY DSC

Mazda 808 ialah sebuah kereta coupe keluaran Mazda yang kelihatan sungguh ‘jahat’. Tak hairan pun kerana pada tahun 1970-an, pembuat kereta Jepun amat terpengaruh dengan rekaan kereta muscle dari AS.

Memandangkan Mazda ini bermastautin di Sabah, jadi tak haian juga apabila enjin yang digunakan ialah enjin Toyota. Biasanya Mazda 808 diubahsuai dengan enjin rotary. Tetapi kalau fikir balik bab minyak dan kelasakan, memang bagus juga masukkan enjin Toyota 4AGE.

SONY DSC

Ubah suai yang dilakukan tak berapa banyak, cuma kepala silinder enjin menjalani  kerja-kerja port dan polish. Manakala penapis udara diganti kepada penapis jenis pod terbuka daripada Simota. Pam bahan api dinaik taraf dengan pam buatan Bosch yang lebih berkuasa tinggi berbanding pam asal.

Sistem ekzos disalurkan kepada paip custom bersaiz 2.3 inci di tengah dan diakhiri dengan peredam A’PEXi N1. Pada mata kasar saya, dah macam ekzos untuk kereta turbo. Kotak gear standard Toyota AE86 disalin masuk sekali bersama-sama enjin dan dikekalkan standard. Gandar belakang AE86 digabungkan pada chasis Mazda ini bagi mendapatkan nisbah gear yang tepat. Paling penting, dapat sekali LSD standard buatan Toyota.

SONY DSC

Untuk merendahkan profil kereta, ubah suai pada penyerap hentak dilakukan dengan cara klasik Rat Rod. Penyerap hentak asal diisi semula dengan minyak bagi mendapatkan tahap kekerasan yang diperlukan. Semua pegas gegelung standard juga dipotong untuk mendapat tahap kerendahan yang diingini. Inilah modifikasi yang mudah dah murah. Sama dengan apa yang dilakukan oleh ramai antara kita masa mula-mula main kereta dulu.

Sistem brek Mazda 808 ini ialah kombinasi brek cakera standard di bahagian depan dan brek cakera AE86 di belakang. Walaupun saya rasa kereta ini memerlukan brek cakera yang lebih besar di bahagian depan, tetapi keberkesanan kuasa membrek kereta ini masih boleh diterima.

SONY DSC

Mengenai rim pula, sememangnya gaya old skool. Rim Enkei 13 inci mengikut trend sebenar pada era 1970-an, di mana rim 14 inci ke atas boleh dikatakan rim yang cukup mahal. Tayar yang membalut rim ini ialah Silverstone bersaiz 185/60/13.

Tidak ada sebarang modifikasi dilakukan pada bahagian luaran kereta. Tetapi tanda-tanda penuaan sudah boleh dilihat. Tidak mengapa, ini adalah identiti kereta lama, kalau sempurna 100 peratus pun tak best juga kan?

SONY DSC

Pada bahagian dalaman. Wow! Ini memang ada ciri-ciri Rat Rod yang sebenar. Kulit pintu yang hilang, toolbox besar di dalam kereta, stereng sport tanpa jenama dan tanda-tanda lusuh di sesetengah bahagian kereta membuktikan kematangan usianya. Walau bagaimanapun, saya tabik kepada papan pemuka yang tidak ada cela, masih cantik macam baru.

Jadi, kalau anda ada kereta yang tak berapa nak siap, jangan rasa malu. Trend kereta tak siap nampaknya dah makin ramai orang buat di sini.

[hr]Spesifikasi

Pembuat / Model: Mazda 808 Coupe

Ubah suai enjin: Toyota 4AGE DOHC 16 injap TVIS, kepala silinder port dan polish, penapis udara Simota

Sistem ekzos: Paip tengah 2.3”, peredam bunyi A’PEXi N1

Kotak gear: Standard Toyota AE86

Sistem gantungan: Standard, pegas gegelung dipotong

Sistem brek: Standard Mazda 808 (hadapan), Toyota AE86 (belakang)

Rim / Tayar: Enkei 13” / Silverstone 185/60/13

Luaran: Standard

Dalaman: Standard, takometer Auto Gauge

[hr]Galeri

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC
 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button