MODIFIKASI BMW E90 – JAPAN POWER!

SHARE

Kelebihan kereta keluaran Eropah seperti BMW, tentulah pada logonya. Tak kira model mana sekali pun. Setiap kali ia melintas di depan mata, tanggapan pertama kita mesti pemiliknya orang ada-ada. Yelah, nama pun sedan mewah…

Hakikatnya, tak semua kereta BMW itu mahal harganya. Ambil model E90 ini sebagai contoh. Pada usia sekitar 10 tahun, nilai semasanya boleh terduduk sampai RM35K, bergantung kepada varian, kondisi dan kapasiti enjin.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Walaupun rasa macam mampu, tapi kos belaannya bukanlah jenis mesra poket. Kena dia buat hal, baru datang rasa nak undur diri.

BACA: KENAPA KERETA JEPUN LASAK DAN DIPERCAYAI?

Selepas beberapa tahun digunakan, enjin kereta milik Tzong ni mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Ikutkan boleh je tukar pakai komponen dari enjin yang sama. Cuma takde sapa boleh beri jaminan masalah tersebut boleh diselesaikan.

Bimbang berdepan masalah sama, Tzong nekad menyerahkan kereta ini kepada Lee di KKP Auto Service, setelah yakin dengan contoh modifikasi yang pernah mereka lakukan.

Pilihan Tzong, sebuah enjin Toyota jenis 1JZ-GTE VVTi. Agak-agak nak tambah power pun senang. Memandangkan mereka cukup handal dalam pengubahsuaian songsang seperti ini, enjin tersebut berjaya dimasukkan pada kedudukan yang selesa.

Enjin baru ini turut dinaik taraf khususnya di bahagian sistem pendesak. Unit turbo CT15B asal telah diketepikan untuk memberi laluan kepada kit turbo HKS 2835 GT Pro. Tiada perubahan besar diperlukan, memandangkan ia masih dalam lingkung saiz yang sama. Untuk membantu proses sejukan, ia dihubungkan kepada intercooler dari Blitz dengan paip sambungan kustom.

Jumlah boost dikawal menggunakan unit EBC-R dari M7 Japan. Untuk kuasa yang setimpal, parameter enjin telah ditala semula menggunakan sistem pengurusan dari Unichip. Lebih menarik, hampir keseluruhan sistem elektronik asal masih lagi berfungsi seperti biasa.

Kotak gear automatik yang datang bersama enjin terus dibawa naik tanpa sebarang perubahan. Bunyi macam senang. Tapi kalau pomen tak biasa buat, kedudukan tombol gear mungkin akan terjojol di tempat lain. Sistem ekzos juga telah dirombak semula, melibatkan penggunaan paip kustom sebesar 3-inci serta muffler AC Schnitzer dihujungnya.

BACA: 10 ENJIN JEPUN TERBAIK SEHINGGA HARI INI

Selain enjin, bahagian luar juga telah disegarkan semula menerusi penggunaan hood dan bumper dari model E90 LCi M Sport. Ia kemudian digabungkan dengan komponen dari AC Schnitzer untuk skirt belakang, spoiler cermin dan boot, juga pilar di bahagian pintu. Skirt depan dan sisi dibuat secara kustom.

Begitu juga pemasangan splitter dan air duct karbon fiber di ruang bumpernya. Sebagai penutup, keseluruhan kereta telah dilayangkan dengan kaler Nardo Grey yang kian mendapat tempat sejak akhir-akhir ini. Tengok, kaler Honda Cub pun dah femes sekarang…

Kedudukan kereta ditongkat menggunakan set suspensi boleh laras dari FTuned Suspension. Nak nampak lebih muda, ruang rodanya kini diisi rim HRE P101 berukuran 18-inci. Ia kemudian digabungkan dengan tayar nipis Hankook bersaiz 235/40ZR-18 di bahagian depan dan 255/35ZR-18 untuk belakang. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem brek merupakan kombinasi komponen Brembo dan Wortec untuk depan dan belakang.

Keadaan ruang dalam masih mengekalkan kesemua komponen asal. Memang gitu caranya, baru rasa mewah dan selesa. Yang ada cuma penambahan meter-meter penting dari Defi serta unit Defi ZD. Aksesori pilihan lain termasuk pedal AC Schnitzer, tuas brek dan tombol gear Hartge, serta trim jenis karbon fiber di sana-sini.

Golongan purist Euro, mungkin mempertikaikan kewajaran usaha seperti ini. Macam satu dosa pulak, padahal diri sendiri yang nak kena tanggung. Jika soal reliabiliti dan kuasa menjadi keutamaan, modifikasi songsang seperti ini mungkin pilihan terbaik yang boleh difikirkan…

Spesifikasi

Pemilik                        Tzong Sheng

Pengeluar                    BMW

Model                          E90 325i

Tahun                          2006

Enjin asal                    N52B25

Modifikasi Enjin         1JZ-GTE VVTi, kit turbo HKS 2835 GT Pro, intercooler Blitz, paip sambungan kustom, pengawal boost EBC-R M7 Japan, EMS Unichip, kabel pencucuh NGK R09, penapis udara Simota, tangki perangkap minyak D1 Spec, radiator Forged Racing

Transmisi                    Automatik

Ekzos                          Paip kustom 3-inci, muffler AC Schnitzer

Luaran                         Hood & bumper E90 LCi M Sport, skirt belakang, spoiler, & pilar pintu AC Schnitzer, skirt depan & sisi kustom, splitter & air duct karbon fiber kustom

Suspensi                      FTuned Suspension

Brek                            Brembo F50 (depan), Wortec 4-pot (belakang)

Rim & Tayar               HRE P101 18-inci & Hankook Ventus RS3 235/40ZR-18 (depan), 255/35ZR-18 (belakang)

Dalaman                      Meter Defi & Defi ZD, pedal AC Schnitzer, tuas brek & tombol gear Hartge, trim karbon fiber

Bengkel                       KKP Auto Service & Premier Auto Plus, Shah Alam

-PAK MAUN-

GALERI

Share this post

scroll to top