Modifikasi

NAK MAIN CONTI DENGAN BAJET SEDERHANA? NI ADA CONTOH BMW E34 325i CONVERT M5

Kalau nak cakap tentang kereta saloon berprestasi tinggi dari Eropah, pasti ramai akan memasukkan jentera BMW dengan logo “M” yang membawa maksud “Motorsports”  dalam senarai mereka.

Jerman memang tidak asing dalam membina kereta berprestasi tinggi. Di sana, BMW siri M bersaing dengan jenama seperti Mercedes AMG atau Audi RS yang masing-masing ada membina kereta saloon berprestasi tinggi.

Walaupun kereta-kereta berprestasi tinggi macam ini agak biasa di sana, lain pula halnya di Malaysia. Saya tak nafikan bahawa kebelakangan ini makin ramai peminat kereta Malaysia mula beralih arah ke kereta prestasi tinggi buatan Eropah.

Tetapi harganya boleh dikatakan sangat mahal dan kos menjaganya juga tidaklah murah. Sebab itulah agak susah nak jumpa kereta seperti BMW M3 atau Mercedes 190E 2.3 Cosworth berada di atas jalan raya Malaysia, berbanding kereta-kereta berprestasi tinggi dari Jepun macam Subaru Impreza atau Mitsubishi Lancer Evo.

BMW 525I CONVERT M5

Kami cuba cari BMW siri M yang asli, tapi buat masa ini kami jumpa yang convert. Siri M5 untuk model BMW E34 sememangnya amat susah nak jumpa di Malaysia, jadi kalau jumpa yang convert pun dah kira okay sangat-sangat. BMW 525i keluaran tahun 1991 ini dimiliki oleh Sofian Yunus, seorang peminat kereta Jerman yang mahukan prestasi tinggi tanpa membankrapkan diri.

Model 5-Series sekarang boleh dibeli dengan harga yang cukup murah. Lagi besar enjin asalnya lagi murah boleh beli. Saya pernah jumpa orang letak harga RM10,000 der!

Proses transformasi BMW 525i ini kepada M5 pastinya bermula pada bahagian nadi kereta. Kalau rupa sahaja macam M5, tapi blah macam siput, baik tak payah kan? Sofian memulakan pencarian half-cut lengkap M5 E34 yang menemukannya dengan half-cut M5 spec Jepun.

Enjin yang dikenali dengan kod S38-B36 itu bersesaran 3.6 liter dengan 6 silinder sebaris menjadi pilihan Sofian. Harga half-cut ni kalau dengar memang boleh pengsan – RM13,000 beb! Tapi rasanya jauh lagi murah daripada half-cut Honda FD2R kan?

Apa yang Sofian dapat dengan RM13,000 yang dia belanjakan? Baiklah, Sofian dapat enjin yang menghasilkan 310 kuasa kuda dengan daya tork sebanyak 360Nm yang menjanjikan pecutan dari 0 – 100km/j sepantas 6.1 saat dan kelajuan maksima  250km/j (dengan speed cut). Saya rasa memang berbaloi belanja duit sebanyak itu, sebab enjin asal 2.5 liter BMW ini hanya mampu jana 192 kuasa kuda sahaja.

BMW 525I CONVERT M5

Memandangkan enjin ni memang diambil daripada half-cut E34, pemasangannya tidaklah memeningkan kepala sangat. Paling penting, semua barang yang datang dengan half-cut boleh disalin terus ke kereta tanpa sebarang modifikasi.

Selain enjin, kotak gear transmisi manual lima kelajuan turut disalin, bersama-sama gandar belakangnya yang lengkap dengan LSD. Sistem ekzos kereta mendapat sentuhan binaan custom. Paip tengahnya menggunakan paip keluli tahan karat 2.5 inci dan bunyi deruman enjin 6 sebaris ni dikuatkan lagi dengan penggunaan peredam bunyi sports jenama Sebring.

Untuk mendapat pengendalian yang lebih mantap, Sofian mendapatkan satu set penyerap hentak jenis sports buatan Bilstein B8 yang membantu mengawal kereta ni pada semua kondisi jalan raya. Agak pelik juga kenapa Sofian tak menyalin terus brek M5 kepada E34, sebaliknya menggabungkan sistem brek kereta dengan set lengkap brek 4 piston yang diambil daripada model BMW E32. E32 ialah BMW 7-Series keluaran 1986 – 1994.

BMW 525I CONVERT M5

Rim pilihan Sofian ialah rim klasik yang sememangnya menjadi pujaan pemilik kereta BMW klasik, BBS RS. Rim BBS RS berdiameter 17 inci itu dibalut dengan dua jenis tayar berbeza saiz iaitu Bridgestone Potenza 225/45 di depan dan 255/40 di belakang.

Kalau anda perasan, kereta ini nampak macam standard sahaja dari luar. Tetapi apabila diselidik, model E34 M5 ini sememangnya tidak menonjol dan hampir sama dengan model standard E34.

Bezanya, lips pada bampar depan, rocker panel tepi yang sedikit labuh dan washer lampu – itu sahaja! Apa yang lain sikit pada kereta Sofian daripada M5 asli ialah bonet depan gentian karbon custom dan cermin sisi rekaan custom M3.

Mungkin di sini terletak perbezaan falsafah kereta saloon sports di antara Jerman dan Jepun. Kalau kereta Jepun, mesti bahagian dalaman kereta dihiasi dengan tempat duduk jenis bucket dan penggunaan fabrik untuk kemasannya.

BMW 525I CONVERT M5

Tidak bagi kereta Jerman. BMW ini walaupun dengan lebih 300hp di dalam bonet depannya, bahagian dalaman kereta masih kelihatan mewah dan dilengkapi dengan aksesori seperti kerusi kawalan elektrik dan kemasan kayu. Tak ada rupa kereta sports pun!

Sofian telah mendapat pelbagai jenis aksesori asli E34 M5 macam tempat duduk, kemasan pintu dan papan pemuka. Oh ya! Papan pemuka kereta ini sebenarnya tak diganti. Cuma meternya saja diganti sebab half-cut yang dibeli menggunakan sistem pemanduan sebelah kiri.

Aksesori lain yang ditambah ialah stereng sports Alpina dan perehat tangan yang diubah suai daripada BMW E38 (model 7-Series tahun 1994–2001).

Walaupun BMW ini mungkin tak sepantas Impreza atau Evo dari segi pecutan, tapi percayalah, kalau anda jumpa kereta ni di atas lebuh raya, belum tentu Impreza atau Evo boleh ‘makan’…

BACA: BMW E30 325i LHD

BACA: BMW E30, JENTERA LAGENDA DARI JERMAN!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button